Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa sidang parlimen sekurang-kurangnya 80 hari
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 3:21 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Ching Tong menggesa parlimen bersidang sekurang-kurangnya 80 hari dalam setahun.

Liew berkata, sudah tiba masanya kerajaan setuju dengan jumlah hari persidangan tersebut memandangkan parlimen telah selesai menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dalam tempoh tiga tahun lalu.

Menurutnya, alasan persidangan yang lebih pendek sebelum ini adalah bagi kerja pengubahsuaian sementara untuk memenuhi keperluan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

"Sekarang parlimen memiliki kemudahan berasingan bagi Dewan Negara dan Dewan Rakyat, saya menyeru menteri yang bertanggungjawab bagi parlimen, (Datuk Seri) Azalina Othman Said dan speaker (Tan Sri) Pandikar Amin Mulia untuk memulakan sidang parlimen sekurang-kurangnya 80 hari dalam setahun.

"Ini bagi memberi masa yang mencukupi untuk anggota parlimen membahaskan dan membincangkan perkara-perkara yang penting kepada negara dan untuk mengurangkan persidangan sehingga malam dan lewat malam yang tidak kondusif," kata Liew.

Pemimpin DAP itu menunjukkan rekod parlimen bersidang selama 79 hari pada tahun 2008, 72 hari pada 2009, 83 hari pada tahun 2010, 63 hari pada tahun 2011, 70 hari pada tahun 2012, 51 hari pada tahun 2013, 57 hari pada tahun 2014, 61 hari pada tahun 2015 dan 53 hari pada 2016.

Bagi tahun ini, katanya, Dewan Rakyat dijadual bersidang selama 57 hari.

Liew membandingkan parlimen Australia dan United Kingdom, yang biasanya bersidang sekurang-kurangnya 150 hari dalam setahun.

Parlimen, pada April tahun lepas, menolak usul tergempar yang dibawa ahli parlimen PKR Sim Tze Tzin, yang enggan membincangkan keperluan melanjutkan hari persidangan.

Usul itu ditolak oleh Pandikar "kerana ia tidak melibatkan kepentingan awam dan hanya kepentingan penggubal undang-undang".

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz pula berkata anggota parlimen tidak boleh hanya bergantung kepada elaun mereka sebagai anggota parlimen semata-mata untuk menyara keluarga.

Lihat Komen
ADS