Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa fokus utama kerajaan pada masa ini adalah memastikan keselamatan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara.

"Saya telah diberi taklimat terperinci mengenai situasi semasa.

"Fokus utama kita adalah untuk memastikan keselamatan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di sana,"katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung tindakan Korea Utara menyekat 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan republik itu.

Najib berkata kerajaan juga memberi jaminan akan melakukan sedaya upaya untuk membawa mereka pulang ke Malaysia dengan selamat.

"Saya faham perasaan dan kebimbangan keluarga serta kenalan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara.

"Kita beri jaminan akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan mereka pulang ke tanah air dengan selamat," katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Khalid Abu Bakar.

Mesyuarat itu berakhir kira-kira sejam iaitu pada pukul 7.36 malam, menurut Twitter Ahmad Zahid.

Menurut Wisma Putra, 11 rakyat Malaysia termasuk kakitangan tiga kedutaan dan keluarga mereka kini berada di Korea Utara.

Semalam, Korea Utara mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Mohamad Nizan Mohamad sebagai ‘persona non grata’ dan perlu meninggalkan Pyongyang dalam tempoh 48 jam bermula pukul 10 pagi waktu tempatan.

Arahan itu dikeluarkan sejurus selepas Duta Besar Korea Utara, Kang Chol meninggalkan Malaysia pada pukul 3.55 petang waktu Malaysia semalam.

Hubungan kedua-dua negara tegang berikutan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada presiden Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.