Empat kubur di tanah perkuburan Anglican Cemetery Lambir, Kampung Lusut di Miri hari ini diceroboh dan dibongkar individu tidak bertanggungjawab, kata polis.
Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata pihaknya kini sedang mengesan individu terbabit selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang paderi berusia 46 tahun dari Gereja Good Shepherd, Lutong, di Balai Polis Lutong, kira-kira 2.06 petang.
Khoo berkata, kegiatan tersebut disedari pada pukul 12 tengah hari ini namun individu yang bertanggungjawab masih belum dapat dikenal pasti.
"Waris kepada si mati sedang dikesan untuk ditemu bual bagi mengenal pasti kehilangan dan kerugian barang dari kubur berkenaan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan di tempat perkuburan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. -Bernama
