DBKL akan disiasat berhubung penjualan flat Taman Cuepacs
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN), akan menyiasat mengapa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan pemaju Megah Kepong Sdn Bhd menjual sendiri flat kos rendah milik DBKL di Taman Cuepacs, Segambut.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN), akan menyiasat mengapa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan pemaju Megah Kepong Sdn Bhd menjual sendiri flat kos rendah milik DBKL di Taman Cuepacs, Segambut.
Ketua Pengarah JPN, Dr Ahmad Salluddin Dali berkata, tindakan DBKL menyerahkan urusan pembahagian rumah tersebut kepada Megah Kepong adalah melanggar peraturan kementerian berkenaan,
Beliau memberitahu demikian kepada 10 wakil penduduk Kampung Sungai Udang yang telah diarahkan oleh DBKL berpindah dari kampung itu sewaktu mereka menyerahkan memorandum bantahan berhubung pembahagian rumah kos rendah Taman Cuepacs.
Sebaliknya, Dr Ahmad memberiahu mereka bahawa kuota pembahagian rumah kos rendah Taman Cuepacs adalah tanggungjawab DBKL dan bukannya pemaju.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob yang turut bersama menyerahkan memorandum tersebut berkata, JPN juga mahu tahu mengapa urusan pemilihan pembeli diserahkan kepada pemaju dan bukan oleh DBKL sendiri.
"Pegawai jabatan tersebut akan mengadakan perbincangan dengan DBKL berhubung perkara tersebut tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi malaysiakini .
Dalam memorandum tersebut, penduduk Kampung Sungai Udang mendakwa berlaku penyelewengan dalam urusan pembahagian rumah kos rendah Taman Cuepacs.
Penduduk tidak puashati
Mohamad berkata, Dr Ahmad memberitahu mereka bahawa semua urusan yang membabitkan flat dan rumah kos rendah kerajaan adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatannya tidak membenarkan pemaju menjual sendiri rumah tersebut.
Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaacob Sabtu lalu kerana penduduk tidak puashati kerana mereka tidak dipanggil menghadiri perbincangan antara Jabatan Perdana Menteri, DBKL dan pemaju terbabit, berhubung pembahagian rumah di Taman Cuepcas baru-baru ini.
Sebelum ini, penduduk berkenaan pernah mengadakan rundingan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan untuk membeli rumah kos rendah Taman Cuepacs, tetapi tidak berhasil.
DBKL mengarahkan mereka berpindah ke penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang dengan dikenakan bayaran sewa bulanan RM124 kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mahu melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, penduduk tidak mahu berpindah ke Jinjang kerana mereka mahu membeli rumah kos rendah Taman Cuepacs yang berdekatan bersebelahan kampung mereka sekarang.
Bagaimanapun, permintaan itu ditolak oleh DBKL dengan alasan projek perumahan kos rendah Taman Cuepacs itu dimajukan oleh pihak swasta.
Berikutan itu, penduduk mendakwa, DBKL telah berpakat dengan pihak pemaju berhubung pembahagian rumah tersebut.
Berikutan itu, mereka telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat dakwaan tersebut.

