Naib Presiden PKR, Tian Chua, berdepan kemungkinan tidak layak untuk bertanding pada pilihan raya akan datang selepas dia didapati bersalah oleh mahkamah hari ini.

Tian yang kini mewakili kerusi parlimen Batu, didenda RM3,000 kerana menghina kehormatan seorang anggota polis.

Kejadian berlaku pada April 2014 dan Tian didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kira-kira empat bulan kemudian.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Yasmin Abdul Razak, berkata pendakwa berjaya membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.

Mengikut peruntukan Kanun Keseksaan, sabitan bagi kesalahan mengikut Seksyen 509 membolehkan pesalah dihukum penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Kedudukan Tian sebagai anggota parlimen kini menjadi perhatian kerana mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan jika didenda lebih RM2,000.

Kalayakan itu juga terbatal jika seseorang wakil rakyat dipenjara tidak kurang dari satu tahun.

Bagaimanapun, Tian masih boleh merayu sabitan ke atasnya.

Sementara itu peguam Tian, Latheefa Koya, berkata mereka bercadang untuk membuat rayuan dan buat masa ini kerusi Batu kekal diwakili tertuduh.

Latheefa juga menjelaskan Tian tidak dapat bertanding pada pilihan raya akan datang kecuali pihaknya berjaya memohon mahkamah membatalkan sabitan itu, atau mengurangkan hukuman.

Bercakap kepada media selepas membayar denda, Tian berkata, keputusan itu tidak menghalangnya terus memperjuangkan keadilan dan reformasi dalam negara ini.

"Buat masa ini saya akan terus berkhidmat sebagai anggota parlimen walaupun dikenakan denda lebih RM2,000 dan tidak layak bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Peguam saya sudah memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami akan membuat rayuan secepat mungkin," katanya.

[Baca berita penuh]