P Pinang sasar cipta rekod mural tertinggi di dunia
Lima artis Malaysia memburu tempat dalam Guiness Book of World Records dengan melukis mural tertinggi di dunia pada keseluruhan sisi menara Komtar, ikon Pulau Pinang.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata Projek Mural Tertinggi Dunia itu yang ditaja oleh Only World Group (OWG) akan mengetengahkan lagi Pulau Pinang di peringkat dunia.
"Menjadikan Komtar sebagai kanvas karya bersejarah ini memang tepat, bukan hanya kerana ia bangunan tertinggi di negeri ini tetapi juga kerana George Town dikenali dunia menerusi kebudayaan serta keseniannya dan mural ini akan menyumbang kepada pemandangan bandar raya," katanya kepada pemberita pada pelancaran projek di George Town hari ini.
Lim berkata mural yang dianggar berukuran 230 meter tinggi dan 13.1 meter lebar apabila siap kelak itu dijangka melibatkan kos RM300,000.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OWG Datuk Seri Richard Koh berkata mereka berharap projek tersebut akan diiktiraf Guiness Book of World Records memandangkan rekod semasa mural tertinggi hanya berukuran 70 meter tinggi.
"Projek ini juga seiring dengan usaha kami sekarang untuk memberi nafas baharu kepada mercu tanda negeri ini yang bermula dengan pelancaran The Top@Komtar akhir tahun lepas," katanya.
Koh berkata projek mural itu akan bermula bulan ini dan dijangka siap pada Oktober melibatkan artis Bibichun, The Sliz, Kangblabla, Sattama dan IMMJN.
- Bernama

