Pan Borneo: S'wak harap k'jaan pusat timbang masukkan jalan Marudi
Sarawak berharap kerajaan persekutuan mempertimbangkan dengan serius untuk memasukkan jalan Marudi bagi bahagian Sarawak dalam projek Lebuhraya Pan Borneo.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata cadangan yang dibangkitkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof minggu lepas akan memberi manfaat kepada pemandu secara keseluruhan dan kawasan Marudi dalam jangka panjang dari segi potensi ekonomi.
"Masa perjalanan antara Miri dan Limbang melalui jalan Marudi mungkin lebih lama tetapi pengguna tidak perlu risau kesulitan bagi pemeriksaan pasport seperti sekarang," kata beliau kepada pemberita di Miri hari ini.
Terdahulu, Dr Penguang mempengerusikan mesyuarat dengan para pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ketua masyarakat dari Marudi mengenai kemajuan kerja-kerja menaik taraf jalan Miri-Marudi sepanjang 43.2 km yang dijangka siap menjelang 2019.
Sabtu lepas, Fadillah berkata kerajaan persekutuan sedang mempertimbangkan supaya bahagian Sarawak Lebuhraya Pan Borneo tidak melalui Brunei bagi mengelakkan kerumitan bagi melalui kenderaan semasa pemeriksaan pasport.
Beliau dipetik sebagai berkata supaya jalan raya menghubungkan Miri dan Limbang dibina dari Marudi bagi mengelakkan pengguna menghadapi kesulitan semasa pemeriksaan imigresen di sempadan.
Fadillah berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.
Pada masa ini, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak serta warga Brunei perlu melalui lapan pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) jika mereka memandu sehala dari Sarawak melalui Brunei Darussalam ke Sabah.
Dengan berulang-alik, pasport pemandu kenderaan akan dicop sebanyak 16 kali.
Mengenai kemajuan kerja-kerja menaik taraf Jalan Miri-Marudi, Dr Penguang berkata ia lebih awal daripada jadual walaupun musim hujan sekarang dan menjelang Ogos 2017, sehingga 15 km dari jalan Miri-Marudi dijangka selesai diturap.
- Bernama

