Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibenarkan sentuhan fizikal dengan ahli keluarganya semasa lawatan ke penjara.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed berkata mahkamah tidak boleh masuk campur dalam proses membuat keputusan oleh pihak penjara dan mendapati tidak ada yang tidak rasional, menyalahi undang-undang dan tidak mengikut prosedur dalam keputusan itu.

"Mereka kata akan mempertimbangkan berdasarkan kes demi kes dalam surat mereka.

“Mahkamah lazimnya tidak akan campur tangan dengan badan membuat keputusan atau badan tribunal, melainkan jika ia jelas salah, atau mala fide," katanya.

Beliau berkata, pengarah penjara hanya menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membuat keputusan itu dan beliau tidak mempunyai tanggungjawab statut untuk memberikan alasan mengapa memutuskan demikian.

"Hakikatnya pemohon (Anwar) adalah seorang banduan dan beliau tertakluk kepada Arahan Tetap oleh ketua pengarah penjara," katanya.

Hakim juga mengarahkan keluarga itu membayar kos nominal sebanyak RM1,000 kepada Jabatan Penjara.

Anwar melalui surat peguamnya bertarikh 2 Mac 2016 memohon pihak penjara membenarkan sentuhan fizikal ketika lawatan, tetapi permintaan itu ditolak melalui surat bertarikh 14 Mac 2016.

Sehubungan itu, beliau memfailkan semakan kehakiman pada Mei tahun lalu dan ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain Anwar, turut bertindak selaku pemohon ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, empat anak perempuan mereka iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Nurul Ilham dan Nurul Iman serta empat cucu.

Mereka menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Semua pemohon mendakwa Jabatan Penjara menafikan sentuhan fizikal antara Anwar dan ahli keluarganya yang dipisahkan melalui dinding kaca serta percakapan antara mereka hanya melalui telefon ketika lawatan tiga minggu sekali.

Anwar dan keluarga diwakili peguam N Surendran manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak penjara.

[Baca berita penuh]