PM mahu rakyat bersatu hadapi krisis Korea Utara
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu semua pihak termasuk pembangkang, untuk bersatu dalam menyokong usaha bagi menyelesaikan krisis dengan Korea Utara.
Beliau berkata, kekuatan negara boleh diukur dengan melihat kepada kebersatuan rakyat ketika menghadapi krisis atau ancaman dari luar.
“Sekiranya kita bersatu-padu ketika menghadapi sebarang masalah atau ancaman, musuh dari luar tidak akan mampu meruntuhkan segala yang kita bina selama ini,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di blog beliau.
Ketika ini, Najib berkata kerajaan sedang berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang dilarang menimnggalkan Korea Utara dengan selamat.
“Saya ingin menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang agar bersatu memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha yang sedang dijalankan bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Mengambil contoh, krisis seperti MH370, MH17 dan Lahad Datu , perdana menteri berkata, ini bukan kali pertama Malaysia menghadapi saat-saat getir membabitkan hubungan luar negara.
Beliau berkata episod itu membuktikan bahawa Malaysia berpengalaman dalam menangani isu berkaitan kuasa asing yang rumit.
“Insya-Allah, kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah yang Maha Kuasa sekali lagi untuk mengembalikan rakyat Malaysia di Korea Utara dengan selamat dan merungkai segala persoalan mengenai pembunuhan yang berlaku di tanah air kita ini.
“Malaysia sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua negara.
“Walau bagaimanapun ini tidak bermakna sesiapa dari kalangan mereka boleh menyalahgunakan segala layanan baik yang Malaysia telah berikan selama ini dan melanggar undang-undang negara kita atau melakukan sesuka hati mereka tanpa menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat,” katanya.

