HARAPAN bimbang yuran IPT bakal dinaikkan
Pakatan Harapan (HARAPAN) bimbang jika yuran pendidikan institut pengajian tinggi (IPT) akan mengalami kenaikan dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan bersama oleh Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR, Zairil Khir Johari (DAP) dan Faiz Fadzil dari Parti Amanah Negara (AMANAH), kebimbangan itu dirasai kerana kebanyakan IPT kini bergelut dengan masalah kewangan yang akhirnya akan menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh para penuntut.
"Malangnya, kerajaan sering kali dilihat seolah-olah berlepas tangan dengan menyalahkan harga minyak mentah dunia sebagai punca pemotongan belanjawan terutama belanjawan dalam bidang pendidikan.
"Namun bagi kami, alasan yang diberikan itu tidak boleh diterima kerana kewangan negara berada pada tahap yang terbaik sekiranya ditadbir urus dengan cara berhemah tanpa ada sebarang unsur rasuah. Malah, timbul juga persoalan ke mana perginya hasil kutipan GST," kata mereka lagi.
Mereka berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang menyebut Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, hampir 6,000 pensyarah termasuk profesor diberhentikan dan tidak disambung kontrak perkhidmatan sejak tahun lalu.
Mohd Idrus berkata, pengurangan bajet sehingga 30 hingga 40 peratus oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun lalu memaksa pengurusan universiti untuk tidak menyambung kontrak berkenaan.
Mengulas lanjut, HARAPAN berkata, bagi menyelesaikan masalah ini, pihaknya menggesa kerajaan untuk menaikkan semula peruntukan kepada IPT dan mewujudkan lebih banyak jawatan tetap berbanding kontrak.
"Semua ini terjadi disebabkan pemotongan peruntukan pendidikan dalam belanjawan Persekutuan yang memberi impak yang sangat besar serta buruk.
"Malah, keadaan ini turut akan memberi kesan daripada sudut ekonomi apabila masalah pengangguran dijangka semakin bertambah. Bilangan pengangguran yang semakin tinggi ini sangat membimbangkan negara.
"Keputusan kerajaan untuk memotong peruntukan IPT secara terlalu drastik ini juga tidak sepatutnya dibuat dengan begitu mengejut," ujar mereka lagi.

