Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selangkah lebih hampir untuk melihat dua tokoh menarik di pentas politik negara ini bersemuka dan berpencak di gelanggang hujah.

Selepas Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan beliau menerima cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat, kini giliran pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu pula menyatakan bersedia berdepan dengan menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

Menurut seorang pembantu Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu mengalu-alukan kesediaan bekas menterinya untuk berbahas.

Pembantu itu yang enggan didedahkan identitinya kepada umum berkata, persediaan juga mula diadakan.

Lebih menarik, pembantu terbabit berkata, debat itu akan diadakan di kawasan parlimen Nazri sendiri, iaitu di Padang Rengas, Perak.

"Butiran mengenai urusan debat itu akan dikemukakan kepada pejabat Nazri tidak lama lagi untuk pengesahan," katanya kepada Malaysiakini.

Pagi tadi, Nazri mengesahkan beliau bersedia berdebat dengan bekas bosnya mengenai isu 1MDB, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) serta persoalan mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata, wang berkenaan tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi, manakala Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mengesahkan beliau tidak terlibat dalam sebarang salah laku atau penyelewengan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nazri berkata, beliau memang mahu debat berkenaan menjadi kenyataan.

Justeru, anggota Majlis Tertinggi Umno itu menyatakan kesediaannya berdebat dengan sebarang tajuk yang diputuskan Dr Mahathir dan kesanggupan itu tidak bersyarat.

“Serahkan pada dia (bab tajuk). Penyertaan saya tanpa syarat, kecuali dalam penentuan tarikh. Yang lainnya terserah pada Mahathir.

“Malah, jika penyokong saya tak dibenar hadir pun saya setuju. Saya hanya mahu debat ini jadi kenyataan,” katanya melalui pesanan SMS dari luar negara.

Sejarah perbalahan antara Dr Mahathir dan Nazri sudah bermula sejak bekas perdana menteri selama 22 tahun itu bersikap kritikal kepada kerajaan.

Pada 4 Mac lalu Nazri mencabar Dr Mahathir bertanding pada pilihan raya umum akan datang di Padang Rengas yang diwakilinya sejak 1995.

Bagaimanapun, dua hari kemudian Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak bercadang untuk kembali menyertai pilihan raya lalu mencabar Nazri berdebat pula.

Ketika Dr Mahathir terus menyerang kerajaan Datuk Seri Najib Razak dengan isu 1MDB, pendedahan dokumen rasmi Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengenai skandal BMF pada 1983 pula mengheret bekas anggota parlimen Kubang Pasu itu ke polemik baru.

Untuk rekod, Nazri pernah berkhidmat dalam kabinet Dr Mahathir sejak Disember 1999 sehinggalah ahli politik veteran itu meletak jawatan pada 2003.

Pembantu Dr Mahathir itu berkata, tokoh terbabit memang dijadualkan melawat Padang Rengas bersama BERSATU.

"Dr Mahathir tidak sabar untuk menghadiri debat berkenaan," katanya.

Lihat Komen
ADS