Hasrat hari jadi Rani Kulup: Damailah KL-Pyongyang
Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah pada hari ini 'menyambut' hari jadi di hadapan kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.
Tanpa kek, lilin atau nyanyian hari jadi, beliau sebaliknya mengangkat sepanduk “cintakan keamanan” di depan kedutaan republik itu selepas ketegangan susulan siasatan kes kematian Kim Jong-nam.
"Pertama kali, saya nak bagi tahulah, hari ini adalah hari jadi saya. Patut saya rehat, tetapi kita tetap bergerak,” kata Rani sambil disambut tepukan dan sorakan pengikutnya.
Sensasi Internet itu hari ini tampil dengan satu hasrat supaya kedamaian kedua-dua negara dapat dicapai.
"Tujuan kami datang hari ini (dengan) kain rentang ini sebagai utusan keamanan kepada Malaysia dan juga kepada Korea Utara.
"Alhamdulillah, dua minggu lepas kami datang menghantar memorandum. Nampak tanda-tanda yang baik.
“Alhamdulillah, doa rakyat Malaysia, doa kepada seluruh dunia benda ini bertambah baik," Rani katanya.
Berdasarkan rakaman video KiniTV, sekurang-kurangnya sepuluh orang hadir mengiringi Rani.
Mereka membawa kain rentang bertulis “Kami rakyat Malaysia mahu keamanan” dalam bahasa Inggeris yang memuatkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.
Hubungan Malaysia-Korea Utara merosot sejak pembunuhan Jong-Nam, abang Jong-un selepas diserang dengan racun VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) bulan lepas.

