Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kita tak sampai tahap perang dengan Korea Utara - Hisham
Diterbitkan:  Mar 13, 2017 3:34 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin bahawa krisis semasa dengan Korea Utara tidak akan mengheret kedua-dua negara kepada situasi perang.

"Kalau nak tanya akan sampai ke tahap perang.. tidak, walaupun keadaan suasana tegang (dengan Korea Utara) tapi takkan sampai perang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di parlimen hari ini.

Ketika ditanya sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menghadapi situasi itu, Hishammuddin berkata: "Tak ada sekiranya. Kita berurusan dengannya bila tiba masa".

Hishammuddin berkata Malaysia tidak hanya bergantung kepada aset ketenteraan, sebaliknya memiliki sekutu rapat dan hubungan dua hala dengan negara-negara lain.

"Contohnya semasa (kehilangan pesawat) MH370, kita tak ada aset nak cari kapal terbang yang hilang tu. 26 negara tampil membantu kita dengan peralatan yang paling canggih.

"Ini kelebihan yang ada pada kita. Jangan bimbang dari segi nak kira aset sebuah negara yang berikan tumpuan tinggi kepada pertahanan aset mereka.

"Mungkin kita tak boleh menyaingi Korea Utara tetapi tak bermakna bahawa kita tak ada kelebihan kita sendiri untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan tapi tak sampai ke tahap itu (perang)," katanya.

Hishammuddin menambah, pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) tidak begitu besar berbanding isu-isu antarabangsa yang dihadapi negara itu.

"Jadi saya tengok, kita kena lihat isu Korea Utara dalam perspektif yang sewajarnya," katanya.

Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, meninggal dunia selepas mukanya disapu dengan ejen saraf VX semasa menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Kejadian itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Pyongyang dan Putrajaya.

Pada masa ini, sembilan rakyat Malaysia, termasuk kakitangan kedutaan dan keluarga mereka, terkandas di Korea Utara berikutan sekatan perjalanan.

Lihat Komen
ADS