Mahkamah tolak permohonan MAIS celah kes Jill Ireland
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk bertindak sebagai pencelah dalam permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrence Bill, seorang kerani di Sarawak.
"Hakim dalam keputusannya mendapati bahawa permohonan untuk mencelah oleh MAIS tidak tidak ada kepentingan langsung.
"Justeru, permohonan itu ditolak dan responden bersetuju untuk tidak meminta kos," kata peguam Haniff Khatri Abdulla yang bertindak sebagai peguam kepada MAIS.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar oleh Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.
MAIS dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memohon untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Jill Ireland pada 20 Ogos 2008, untuk mendapatkan kembali lapan cakera padat yang dirampas kerana tertera kalimah Allah.
Beliau menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Dilaporkan sebelum ini bahawa MAIWP menarik balik permohonannya untuk mencelah dalam kes itu.

