Dua lot kedai bangunan Maybank di tingkat satu terbakar dalam kejadian di pekan Gemencheh, dekat Seremban, pada 6.25 petang semalam.
Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, S. Dullasi Nathan berkata bomba tiba di tempat kejadian bersama 24 anggota kira-kira 6.34 petang selepas menerima panggilan kecemasan.
"Keluasan kebakaran kira-kira 40x70 kaki persegi. Kebakaran hanya melibatkan bahagian pejabat tingkat satu dan tidak membabitkan mana-mana mesin pengeluaran wang automatik.
"Kebakaran dapat dikawal dari merebak ke bahagian lain," katanya ketika dihubungi di Seremban, semalam.
Beliau berkata peratusan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
- Bernama
