Rosmah saran ibu-bapa tak beri telefon prabayar kepada anak
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berharap agar semua pihak dapat mengambil bahagian dalam memberi kesedaran tentang jenayah seksual di kalangan kanak-kanak kepada masyarakat.
Rosmah yang juga penaung Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak turut menggesa agar semua anggota parlimen dan lapisan masyarakat menyokong rang undang-undang berkaitan jenayah seksual kanak-kanak yang akan dibentangkan di Parlimen.
Ini kerana, kata Rosmah, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan berjumlah 7,826 manakala terdapat banyak lagi kes yang tidak dilapor.
Menurutnya, kebanyakan kes juga melibatkan mereka yang berumur bawah 18 tahun dan ia berlaku di kawasan luar bandar.
"Kita menggesa semua anggota parlimen dan semua lapisan masyarakat menyokong rang undang-undang ini dan juga pindaan akta sedia ada demi keselamatan anak-anak kita.
"Mengikut pembahagian kes, 81 peratus kes rogol, 54 peratus kes sumbang mahram dan 67 peratus kes seks di luar tabii. Kebanyakan kes berlaku di luar bandar.
"Paling mengejutkan, 89 peratus kes pelaku dikenali oleh mangsa dan dipercayai ahli dan kenalan keluarga, kawan, jiran, orang dewasa di sekolah dan asrama," kata Rosmah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan! di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin, Rosmah turut memberikan cadangan agar ibu-bapa tidak memberikan telefon prabayar kepada anak masing-masing.
Jelasnya, ia bagi memudahkan ibu-bapa memantau pergerakkan anak-anak terutamanya ketika mereka melayari internet dan media sosial.
"Kepada ibu-bapa, tanggungjawab pengawasan yang rapi terhadap anak-anak perlu ditekankan.
"Contohnya, tidak memadai sekadar hanya mengehadkan tempoh penggunaan internet tetapi perlu menyemak website yang dilayari anak-anak.
"Telefon bimbit yang diguna kanak-kanak perlulah diawasi dari masa ke semasa dan elaklah daripada menggunakan telefon prabayar agar penggunaan telefon boleh dipantau," katanya lagi.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu, satu undang-undang baru dan khusus bagi menangani kesalahan jenayah seksual kanak-kanak secara holistik dan komprehensif akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
Beliau berharap Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 mendapat sokongan semua anggota parlimen kerana ia adalah tanggungjawab semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk menangani jenayah itu.

