Suspek bukan 'penculik' paderi Koh
Polis hari ini mengesahkan lelaki yang ditahan di sebuah kondominium di Petaling Jaya minggu lalu, berhubung penculikan seorang paderi tidak mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Sebaliknya, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad, siasatan mendapati suspek tidak terbabit dalam kes berkenaan tetapi hanya mengambil kesempatan.
"Dia akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan pemerasan ke atas keluarga mangsa.
"Siasatan kes penculikan ini masih diteruskan dan pihak polis menyeru orang ramai tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.
Pada 9 Mac lalu, polis menahan lelaki berusia 32 tahun itu berkaitan dengan kes kehilangan paderi Raymond Koh di Petaling Jaya.
Lelaki itu dikatakan menghubungi anak Koh, dan meminta wang berjumlah RM30,000.
Paderi itu dilaporkan hilang sejak 13 Februari lalu apabila beberapa lelaki bertopeng dalam sebuah SUV hitam menyekat keretanya dan menculiknya.
Kejadian itu berjaya dirakamkan oleh sebuah kamera litar tertututp (CCTV) di kawasan kejiranan berkenaan.
Berikutan itu, timbul spekulasi bahawa kes berkenaan berkaitan dengan salah faham agama.
Pada tahun 2011, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendakwa NGO Komuniti Harapan yang dipimpin oleh Koh cuba memurtadkan umat Islam selepas melakukan serbuan pada sebuah majlis makan malam mengumpul dana di Gereja Methodist Damansara Utama.
Walau bagaimanapun, paderi itu tidak pernah didakwa atau dikenakan sebarang tindakan.

