Pelaksanaan PERMATA di landasan betul - menteri
Program Permata Negara (PERMATA) berada di landasan yang betul dalam menjadikan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini berkualiti tinggi selaras dengan matlamat sistem pendidikan kebangsaan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata tidak timbul persoalan keperluan untuk meggabungkan program di bawah Jabatan Perdana Menteri itu dengan kementerian yang bertanggungjawab merangka pembangunan pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau berkata kementeriannya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Permata dan menyokong penuh usaha yang dilakukan institusi tersebut bagi membangunkan sektor pendidikan awal kanak-kanak dengan cara yang tersendiri.
"Dari awal lagi Permata dilihat berada di atas landasan yang betul dalam membentuk kokurikulum bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke peringkat sekolah, malah kejayaan program mereka telah diakui di peringkat antarabangsa," katanya.
Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan dan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah antara kementerian itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.
Semalam, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor selaku Penaung PERMATA meminta semua pihak di negara ini agar tidak mempolitikkan sebarang usaha dan program yang dianjurkan Permata yang matlamat utamanya adalah memberikan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak di peringkat awal.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata pertikaian keterlaluan pembangkang terhadap PERMATA tidak seharusnya berlaku sekiranya mereka melihat perancangan dan kejayaan yang dicapai institusi itu secara holistik.
- Bernama

