Hakim Hawaii sekat larangan baru perjalanan Trump
Seorang hakim mahkamah daerah AS di Hawaii pada hari Rabu menyekat larangan baru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap rakyat dari enam negara majoriti Islam, beberapa jam sebelum ia berkuatkuasa.
Dalam mengeluarkan perintah sementara menyekat larangan baru Trump itu, Hakim Derrick Watson berkata, mereka yang mencabar larangan perjalanan presiden Amerika itu, mungkin berjaya dalam tuntutan mereka bahawa ia melanggar larangan Perlembagaan terhadap diskriminasi agama.
"Plaintif telah menunjukkan kemungkinan besar untuk berjaya dalam tuntutan mereka bahawa perintah eksekutif itu melanggar hak Pindaan Pertama di bawah perlembagaan," katanya.
Ismail Elshikh, seorang imam di sebuah masjid di Hawaii, mencabar perintah Trump, dengan mendakwa bahawa ia menghalang ibu mertuanya keturunan Syria daripada menyertai keluarganya di Hawaii, "menafikan hak mereka, antara lain, untuk bergaul dengan ahli keluarga di luar negara atas asas agama mereka dan negara asal mereka," demikian menurut dokumen mahkamah.
Elskhikh mencabar dasar itu bersama-sama dengan Hawaii, yang mengatakan ia akan memudaratkan kepulauan Pasifik itu.
Cabaran perundangan yang berasingan juga berjalan di Washington dan Maryland.
Versi awal perintah Trump juga telah digantung bulan lalu selepas ia menyebabkan huru-hara di lapangan terbang di seluruh dunia dan mencetuskan gelombang protes.
Tindakan baru Trump itu, yang dijadual berkuatkuasa pada hari Khamis, telah cuba untuk melarang kemasukan mereka dari enam negara selama 90 hari iaitu Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman, tetapi mengeluarkan Iraq dari senarai negara-negara yang terlibat.
Ia juga telah mengarahkan program pelarian AS digantung selama 120 hari walaupun larangan tanpa tempoh terhadap pelarian dari Syria tidak lagi dimasukkan.
- dpa

