Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecewa dengan kenyataan Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad bahawa Majlis Tertinggi (MT) tidak membuka semula tempoh menerima aduan politik wang semasa pemilihan pada bulan September tahun lalu.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, ini bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno semalam, yang membayangkan pintu aduan masih terbuka.

"Mengapakah MT membuat keputusan begitu? Adakah kerana ramai sangat dari kalangan MT sendiri yang terlibat dengan politik wang dan rasuah lain, sehingga mereka tidak mahu siasatan lanjut dibuat?" katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya tiada tempoh bagi menyiasat segala penyelewengan dan korupsi yang berlaku di kalangan para pemimpin politik, sebagaimana tiada tempoh waktu ditentukan untuk menyiasat kes-kes rasuah di kalangan pegawai-pegawai pentadbiran ataupun polis

Tindakan selektif

Katanya, tindakan menghadkan tempoh itu menunjukkan dua perkara. Pertama, ada tendensi mengambil tindakan secara selektif terhadap tokoh tertentu saja, dan dengan demikian menyelamatkan atau melindungi tokoh-tokoh lain, walaupun ada tuduhan terhadap mereka.

Kedua, tiada bukti wujud azam politik sebenar untuk membanteras korupsi dalam segala bentuk, mungkin mereka yang hendak bertindak pun merasa takut berbuat demikian kerana mereka sendiri tidak terlepas dari tuduhan melakukan korupsi.

"Jika begitu ia merupakan satu tragedi. Esok Tan Sri Mohd Isa Samad akan membuat rayuan. Adakah beliau akan dilepaskan atau sekurang-kurang hukuman ke atasnya diringankan?

"Sekiranya ini berlaku, akan hilanglah kepercayaan rakyat terhadap niat sebenar Perdana Menteri hendak menghapuskan rasuah," katanya.

Syed Husin berkata, oleh kerana Isa telah didapati bersalah dan dihukum oleh parti, MT harus menyerahkan kes ini untuk tindakan undang-undang sewajarnya.

Katanya, selagi ini tidak berlaku, para pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) akan merasa selamat untuk terus melakukan rasuah politik wang.

Katanya, PKR mendesak supaya siasatan terhadap semua kes korupsi, termasuk politik wang, harus terus dibuka dan kes Isa diperpanjangkan untuk tindakan undang-undang.

Pelantikan NC UUM dipertikai

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Syed Husin meragui pelantikan Dr Nordin Kardi sebagai Naib Chanselor Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai satu pilihan yang bijak.

Katanya, adalah lebih baik jikalau seseorang Naib Canselor yang baru dilantik faham akan peranan universiti yang sebenar ataupun mempunyai latar belakang akademik, dari segi pengajaran, penyelidikan dan penerbitan.

Menurutnya, syarat ini perlu ditambah pula dengan kebolehan mentadbir, pandangan terbuka dan kebebasan pendirian, terutama sekali dari pengaruh politik pemerintah.

Beliau berkata, Dr Nordin ialah bekas Pengarah Biro Tata Negara (BTN), yang dikenali sebagai sebuah badan propaganda dan indoktrinasi parti pemerintah.

"Kami harap latar belakang ini tidak menjadi halangan kepada beliau untuk memimpin UUM menjadi sebuah universiti cemerlang dan dihormati dunia akademik.

Kami juga berharap sebagai seorang Naib Canselor segala tindak-tanduk pentadbiran dan urusan akademik beliau akan menjurus kepada mengutamakan cita-cita untuk mendirikan sebuah universiti yang "autonomous" (autonomi) dan cemerlang," katanya.

Syed Husin mendakwa, sekarang ini terlalu banyak Naib Canselor yang dilantik atas pertimbangan politik parti.

"Akhirnya, mereka lebih banyak memikirkan cara untuk menyedapkan hati pihak pimpinan yang mereka anggap sebagai tuan mereka, daripada berusaha mencapai mutu yang tinggi di kalangan pensyararah dan pelajar," tambahnya.

Katanya, PKR berpendapat pimpinan universiti yang baik bergantung kepada Naib Canselor yang berwibawa dan boleh memberikan inspirasi, pengiktirafan serta ruang kepada para pensyarah untuk mengajar dengan penuh dedikasi dan menjalankan penyelidikan serta mengeluarkan penerbitan bermutu tinggi secara berterusan.

Menurutnya, galakan harus juga diberi kepada pelajar untuk menimba ilmu dan berfikiran kritikal, tanpa kongkongan politik sempit atau undang-undang serta peraturan yang mencekik.

Syed Husin berkata, tidak hairanlah taraf serta mutu universiti sekarang semakin merosot dan kemerosotan ini hendaklah jangan berterusan.