Majlis Profesor Negara (MPN) kini mengambil alih siasatan berhubung dakwaan seorang pensyarah membuat kenyataan perkauman baru-baru ini.

Seorang jurucakap memberitahu perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Kata jurucakap Universiti Malaya (UM) itu, kes berkenaan sudah diserahkan kepada MPN.

"Siasatan masih berjalan tetapi buat masa ini belum ada sebarang maklumat baru," katanya.

Sebelum ini pusat pengajian tinggi itu menjemput beberapa pensyarah luar bagi menganggotai panel lima anggota yang dibentuk bagi menyiasat seorang pensyarah yang didakwa memperlekehkan pelajar India.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, berkata beliau memutuskan perkara tersebut supaya universiti berkenaan dapat berlaku adil kepada kedua-dua pihak dan tiada campur tangan daripada pihak pengurusan universiti.

Melalui status Facebook pada Februari lalu, seorang pengguna mendakwa pensyarah UM melarang dia dan rakannya untuk duduk bersebelahan atas alasan orang India mudah meniru tugasan.

Pensyarah terbabit didakwa berkata: "India duduk sama-sama lepas itu akan tiru assignment dan plagiarise. Saya kenal India".

Kandungan status Facebook berkenaan kemudian menjadi tular.

EKoran perkembangan itu Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata UM membentuk sebuah panel terdiri daripada lima anggota untuk menyiasat dakwaan berkenaan.