Semua pelajar Malaysia yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir perlu memastikan status pusat pengajian yang dipilih adalah sah bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini termasuk ditahan pihak berkuasa negara itu.

Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia Universiti Cairo, Mesir Prof Madya Dr Ishak Suliaman, berkata ibu bapa perlu meneliti dan memastikan latar belakang pusat pengajian terlebih dahulu terutamanya untuk pengajian bukan peringkat universiti.

"Ini bagi mengelakkan pelajar kita ditahan atau dihantar pulang pihak berkuasa Mesir," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, beliau berkata ibu bapa perlu sentiasa menyemak visa anak yang sedang menuntut di Mesir.

"Sila semak status visa anak jika sudah luput ingatkan mereka untuk segera memperbaharui dengan pihak berkaitan di Mesir," katanya.
-
Ishak juga mencadangkan ibu bapa mempertimbangkan agar tidak menghantar anak yang di bawah umur 17 tahun bagi mengikuti pengajian ke luar negara.

"Ibu bapa perlu mempertimbangkan dan menilai kemampuan anak adakah mereka sudah bersedia berhadapan cabaran hidup di luar negara tanpa pengawasan keluarga atau penjaga," katanya.

Di samping itu beliau mengingatkan pelajar yang ingin kembali ke Malaysia tetapi visa telah luput perlu menyediakan wang secukupnya bagi tujuan membayar denda.

"Mereka juga dinasihatkan merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan, ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Cairo," katanya.

Pada 27 Februari lepas seramai 126 pelajar Malaysia yang belajar di sebuah maahad tahfiz di Al Sharqia, Mesir ditahan polis negara itu kerana tidak memiliki visa belajar yang sah atau tamat tempoh.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah percaya kegagalan maahad tahfiz itu berdaftar dengan Sektor Sekolah Al Azhar menyebabkan pihak berkuasa Mesir tidak mengeluarkan visa kepada kumpulan pelajar berkenaan.

- Bernama