Kementerian Pendidikan memberi tempoh tiga bulan kepada pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang menerima peruntukan khas 2016 daripada kerajaan bagi melaksanakan projek pembangunan.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata setelah projek tersebut siap, pihak sekolah perlu menghantar laporan mengenainya kepada kementerian dengan kadar segera.

"Laporan tersebut perlu segera dihantar kepada Kementerian Pendidikan atau Jabatan Pendidikan Negeri supaya kita boleh mulakan proses permohonan peruntukan bagi 2017 pula mulai Jun tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi 106 SJKC di Perak membabitkan jumlah keseluruhan RM5.54 juta di Ipoh hari ini.

Chong berkata LPS mempunyai kuasa untuk melantik kontraktor bagi melaksanakan projek yang dipohon dan sejak 2011 hingga 2016 sebanyak RM4.62 juta peruntukan telah diluluskan.

- Bernama