‘Kaji semula dasar jadikan ribuan tanpa warganegara’
Lawyers for Liberty hari ini meminta kerajaan mengkaji semula dasar kewarganegaraan, sambil mendakwa polisi itu telah menyebabkan ribuan rakyat Malaysia yang sah terutamanya kanak-kanak tidak diberikan kerakyatan.
Pengarah eksekutif NGO itu, Eric Paulsen berkata keputusan Mahkamah Rayuan, semalam dalam dua kes berkenaan yang meletakkan beban yang hampir mustahil atas kanak-kanak tanpa kerakyatan untuk membuktikan mereka bukan warganegara negara lain.
Sedangkan, katanya, mereka mempunyai hak untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.
Ini katanya adalah mengikut Jadual Kedua, Bahagian II, Fasal 1 (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa "setiap orang yang lahir di Persekutuan dan bukannya menjadi warganegara mana-mana negara lain" adalah warganegara.
"Dengan mensyaratkan pemohon tanpa kerakyatan kepada standard pembuktian yang boleh dikatakan hampir mustahil untuk dipenuhi dan akan membantutkan niat perlindungan asal fasal kerakyatan, iaitu untuk mengelakkan ketiadaan kewarganegaraan.
"Kerajaan harus menghormati perlindungan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira realiti praktikal dan kekangan yang dihadapi oleh pemohon atau kanak-kanak dalam usaha untuk mengesan susur-galur mereka, lebih-lebih lagi jika mereka ditinggalkan semasa kecil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak dua permohonan berasingan, yang pertama oleh ibu bapa angkat dan kedua, oleh seorang bapa kandung yang memaksa Jabatan Pendaftaran Negara untuk memberikan kewarganegaraan kepada 'anak-anak' mereka.
Panel tiga hakim memutuskan bahawa walaupun budak lelaki itu dilahirkan di Malaysia, adalah perlu bagi pemohon membuktikan kanak-kanak itu bukan tanpa kerakyatan atau warga negara lain.

