Ramai penduduk Kinabatangan di Sabah mendakwa pihak berkuasa masih belum meluluskan permohonan geran tanah meskipun mereka telah menduduki dan mengusahakan tanah tersebut selama 25 tahun.

Mereka hairan mengapa permohonan yang dibuat oleh syarikat besar boleh diluluskan dengan segera sedangkan permohonan mereka mengambil masa yang begitu lama untuk diluluskan.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Prof Mohd Hamdan Adnan berkata, ia adalah antara perkara tersebut dibangkitkan oleh penduduk daerah dalam majlis dialog dengan suruhanjaya tersebut pada 28 Jun lalu.

"Penduduk mendakwa proses mendapatkan hak milik yang terlalu lama, turut menyebabkan permohonan bertindih bagi kawasan tanah yang sama. Mereka mendakwa, tanpa geran tanah, maka sukar untuk mendapatkan pinjaman bank untuk memajukan tanah mereka," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Majlis dialog tersebut turut dihadiri Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun, Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif Kandok serta 400 penduduk setempat.

Menurut Prof Hamdan lagi, masyarakat Orang Sungai yang merupakan penduduk majoriti di Kinabatangan mendakwa, mereka ditangkap oleh pihak berkuasa kerana dikatakan mengusahakan tanah secara haram.

Hak kutip sarang burung

Selain isu tanah, katanya, penduduk juga mendakwa mereka hilang sumber pendapatan apabila hak memungut sarang burung di Gua Gimpoton telah diberikan kepada syarikat luar secara tender walaupun ada waris mereka yang menjalankan pungutan sejak puluhan tahun lalu.

"Penduduk juga menimbulkan kes mahkamah yang mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan sehingga menjadi masalah kepada mereka," katanya.

Prof Hamdan berkata, pihaknya akan menyiasat aduan tersebut bagi mendapatkan penyelesaikan sewajarnya, manakala yang bukan di bawah bidang kuasa Suhakam, akan dipanjangkan kepada pihak-pihak berkenaan.

Sementara itu, Simon menggesa supaya pembangunan di daerah Kinabatangan dipergiatkan demi kepentingan penduduk setempat.

Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif berjanji akan membantu menyelesaikan masalah yang berada dalam bidang kuasanya.

Di sampng itu, beliau juga menggesa pejabat daerah lain di negeri itu supaya mewujudkan satu meja hak asasi kemanusiaan untuk menerima dan menyelesaikan aduan mengenai pencabulan hak asasi manusia.