Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS menyatakan, mereka itu tidak mengadakan kerjasama rasmi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pendirian itu dibuat ekoran tindakan BERSATU yang akan menyertai gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu pemberita mengenainya di Cyberjaya hari ini.

Ditanya mengenai pendirian PAS, beliau berkata: “Secara rasmi kita tak ada kerjasama, kalau begitu rasminya BERSATU (menyertai) HARAPAN.”

Abdul Hadi ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Profesional Malaysia di Cyberjaya hari ini.

Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai kemyataan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan parti berkenaan akan membuat permohonan rasmi menyertai HARAPAN.

Mahathir juga mencadangkan nama HARAPAN ditukar serta satu lambang diperkenal bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

HARAPAN buat masa ini dianggotai PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

Sebelum ini beberapa pemimpin PAS sudah membuat kenyataan mengenai hubungan parti berkenaan dengan BERSATU.

Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan PAS menganggap mereka tidak ada lagi hubungan dengan BERSATU jika parti berkenaan menyertai HARAPAN.

“Ini kerana PAS sejak awal lagi memaklumkan tidak akan sertai Pakatan Harapan,” katanya dilapor Harakahdaily pada 15 Mac lalu.

"Ia dianggap sudah selesai,” kata Mohd Amar lagi yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Bagaimanapun semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan kenyataan Mohd Amar itu bersifat peribadi.

Kata Tuan Ibrahim, pandangan diberikan Mohd Amar bukanlah pendirian rasmi parti kerana setakat ini PAS belum membuat keputusan rasmi berhubung kerjasama dengan BERSATU.

Menurut beliau, keputusan muktamad akan ditentukan melalui mesyuarat yang akan diadakan sebelum muktamar parti itu April depan.

BERSATU pernah memberi tempoh sebulan kepada PAS untuk membuat keputusan menyertai HARAPAN atau tidak, pada 11 Februari lalu.

Bagaimanapun sehari kemudian, Abdul Hadi berkata partinya tidak memerlukan tempoh sebulan untuk membuat pendirian.

Tak perlu tunggu sebulan dengan BERSATU. Kita sudah ada dasar. Dasar (kita) tidak kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan AMANAH.

“Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, kita tak ada hubungan dengan mereka.

“Apabila dia dah ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, habislah,” katanya.

Lihat Komen
ADS