Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Dulu, kini dan selamanya Umno sentiasa berdosa terhadap bahasa Melayu. Walaupun mendakwa memperjuangkan kedudukan bangsa Melayu, sejarah dosa mereka terhadap bahasa Melayu tak pernah pudar.

Bukan sekadar kesalahan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), ramai lagi pemimpin parti itu cenderung untuk memperlekehkan bahasa Melayu.

Annuar bukan bersendirian dalam isu ini. Annuar bercakap bukan mewakili pandangan individu. Tentunya ada suara yang lebih tinggi mahukan UEC diiktiraf kononnya setaraf dengan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Annuar dilihat hanya jurucakap kepada pihak lain yang lebih berkuasa.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, sehingga kini membisu isu UEC. Mustahil dia tidak tahu pentingnya UEC bagi menjalin hubungan lebih akrab dengan China yang kini pelabur mega di Malaysia terutama di Forest City.

UEC kini mendapat pengiktirafan beberapa universiti di Taiwan dan tak mustahil juga China akan mengiktirafnya bagi mengimbangi proses pengambilan pelajar dari Malaysia.

Kita tahu China dan Taiwan bersaing secara terbuka dalam pentas politik antarabangsa Pascaperang Dunia Kedua dan era Perang Dingin. Taiwan - sekutu kuat AS dan Britain di Asia Timur - sentiasa menjadi seteru sepanjang zaman China yang kini kuasa ekonomi terbesar selepas Washington. Menjelang 2025 China dijangka menjadi kuasa ekonomi utama dunia mengatasi gabungan AS dan Kesatuan Eropah.

BN boleh hilang kuasa

Perluasan wilayah China menjadi kewajipan kepada Beijing untuk mereka menyaingi AS dan sekutu Eropah. Mereka sedang memperluaskan wilayah dengan menambak Laut China Selatan. Kewujudan pulau buatan manusia hanya mengukuhkan lagi China di Asia Tenggara. Malaysia pula di bawah pimpinan Najib terpaksa rapat dengan China selepas Barat semakin kritikal terhadap isu 1MDB.

Najib juga masih ingat tsunami Cina pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 yang hampir menumbangkan kerajaan BN pimpinannya. BN hanya menang 133 kerusi Parlimen berbanding 140 pada 2008. Merosot tujuh kerusi petanda merosotnya sokongan terhadap Najib.

Kawasan bandar besar yang majoriti didiami pengundi Cina dimenangi DAP. Daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, BN hanya raih undi popular 5,237,699 berbanding Pakatan Rakyat yang meraih 5,623,984. Najib tahu undi popular BN merosot dengan hanya 47.38 peratus berbanding pembangkang 50.87 peratus.

Jika keadaan berterusan, BN boleh hilang kuasa pada PRU ke-14. Justeru pelbagai langkah bidan terjun terpaksa dilakukan. Keadaan rakyat yang terdesak dengan peningkatan kos hidup, krisis keyakinan dan skandal rasuah menjadikan BN terpaksa memperalatkan isu bahasa bagi meraih sokongan.

Kecenderungan pengundi Cina terhadap pembangkang semakin meningkat. Mimpi Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, untuk meminda Akta 355 yang kononnya direstui Umno tidak membantu sokongan pengundi Cina.

PAS boleh berfantasi dengan politik matang dan hudud. Namun keteledoran lidah beberapa pemimpin baru mereka sukar diterima oleh pengundi atas pagar dan kaum lain. Hasrat kerjasama Umno dan PAS belum menjamin kepentingan politik.

Justeru, UEC menjadi alat untuk menarik sokongan Cina terhadap BN walaupun ia meneruskan dosa Umno terhadap kedaulatan bahasa Melayu yang diperakui sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Utamakan jati diri bahasa

Di Malaysia, tidak ada peraturan yang melarang dan menghukum pihak yang mengaibkan bahasa Melayu. Tidak pernah mana-mana individu dan kumpulan yang enggan menggunakan bahasa Melayu dibawa ke mahkamah sivil. Justeru, bahasa akan terus menjadi mangsa mainan orang politik di negara ini.

Indonesia dan Thailand mendaulatkan bahasa ibunda mereka secara total. Perlembagaan diamalkan secara budaya hidup seharian. Pancasila di Indonesia bukan saja mengutamakan bahasa Indonesia dalam perlembagaan dan urusan harian, bahkan kaum lain terpaksa menggunakan nama tempatan untuk jati diri.

Ardi Wiranata, Hendrawan dan Rudi Hartono adalah di antara bintang badminton Indonesia bertaraf dunia keturunan Cina namun bernama tempatan.

Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang mentadbir negara Gajah Putih itu di antara 2001 hingga 2006 adalah ahli politik keturunan Cina yang menggunakan nama tempatan. Thailand - seperti juga Indonesia - sentiasa mengutamakan jati diri bahasa dan budayanya.

Dalam kes Malaysia, kepentingan politik menyebabkan isu bahasa timbul berdasarkan suasana tempat dan masa. Dalam majlis sastera dan bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mereka bermuka-muka untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Namun dalam isu pendidikan dan politik, bahasa asing sering menjadi cagaran demi kepentingan politik.

Isu tsunami Cina dan hubungan dengan Beijing menjadikan bahasa Melayu diperalatkan demi kuasa politik. Cara untuk lebih akrab dengan China adalah mendewakan bahasa Mandarin, sekali gus menafikan ketuanan bahasa Melayu di Malaysia.

Lagi pun isu bahasa di Malaysia bukan penting sangat. Tidak ada mana-mana parti politik yang memperjuangkan isu bahasa ini secara benar-benar ikhlas dan jujur.

Terkenang Asri Muda

Umno, PAS, PKR atau DAP lebih dekat dengan diskusi tentangg kerusi dan kuasa. Parti bunga raya masih kabur dengan perjuangan. Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggerakkan parti berkenaan pun tak sunyi daripada dosa. Dialah yang perkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003.

Alasan Dr Mahahir kononnya Sains dan Matematik lebih mudah dipelajari dalam bahasa Inggeris yang menjadi pengantar utama dunia. Maka bising dan riuhlah pejuang bahasa, sasterawan dan budayawan sehingga ada yang berkerat rotan dengan Umno, tapi akhirnya menjadi tunggangan kepada BN pada PRU 2004 dengan menyokong pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Dosa sejarah Umno terhadap bahasa Melayu tak pernah pudar. Dulu, kini dan selamanya. Wajar kita renung penutup ucapan Allahyarham Tan Sri Asri Muda, tokoh Pas yang juga ketua pembangkang di parlimen ketika menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Rakyat pada Mac 1967 di depan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abd Rahman:

"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno... yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak" (KERANDA 152, halaman 20).

Ucapan berkenaan ada kaitan usaha Tunku Abdul Rahman yang meletakkan bahasa Inggeris setanding bahasa Melayu dalam pentadbiran negara. Walaupun ketika itu sudah 10 tahun merdeka, Tunku tidak yakin bahasa Melayu mampu digunakan sebagai bahasa utama di sektor awam dan swasta, walaupun banyak bantahan secara terbuka dan lantang.

Tan Sri Syed Nasir Ismail antara tokoh yang lantang mempertikaikan usaha meremehkan bahasa Melayu. DBP menjadi markas gerakan penentangan terhadap golongan yang mengiktiraf bahasa Inggeris. Hari ini orang kanan DBP sendiri menyokong pelaksanaan program dwibahasa kononnya untuk memperkasa sistem pendidikan di Malaysia.

Suara politik lebih berkuasa dan lebih kejam. Politikus dan sekutu kapitalis mereka menggunakan pelbagai akta untuk mengekang pejuang bahasa. Ada yang tersingkir dan ada juga yang dinafikan hak asasi pejuang bahasa.

Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Bangkang tak berkesan

Ayat di atas menjelaskan “kedudukan dan hak bahasa lain” di negara ini selain bahasa Melayu. Justeru, bahasa Melayu berhak dicabar sepanjang masa. Dosa berulangkali dilakukan oleh Umno dan dicatatkan oleh sejarah hitam negara: 

  1. Era Tunku Abdul Rahman pada 1967 (10 tahun selepas merdeka) membenarkan bahasa Inggeris dalam pentadbiran dan Parlimen 'di samping' bahasa Melayu.
  2. Era Dr Mahathir memperkenalkan PPSMI yang menggunakan bahasa Inggeris untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.
  3. Era Najib memperkenalkan dwibahasa kononnya untuk berdaya saing. Melayu glokal.
  4. Hasrat Annuar Musa dan Datuk Seri Nazri Aziz adalah mengiktiraf sijil lain selain SPM sebagai syarat kemasukan IPTS. Alasan universiti di Taiwan iktiraf sijil berkenaan.

Dalam kenyataan kepada media, Nazri secara konsisten menyokong gesaan Putrajaya mengiktiraf UEC dan tidak mengalami sebarang masalah politik berikutan isu itu.

"Dalam Kabinet, kita amalkan kebebasan bersuara ...Universiti Taiwan menerima UEC dan kita iktiraf universiti Taiwan. Jadi apa masalahnya?" katanya ketika mengulas temu bual Sin Chew Daily dengan Annuar.

Kita yakin bukan dua tokoh Umno itu saja yang menyokong UEC diiktiraf. Ramai lagi anggota kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno yang akan berbuat demikian. Jika Annuar berjaya membawa usul itu ke parlimen, kehangatan polemik UEC akan hanya panas seketika sebelum akhirnya reda.

Pejuang bahasa termasuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) sudah menyuarakan bangkangan terhadap kenyataan Annuar.

Kita yakin bangkangan berkenaan tidak memberi kesan. Kuasa politik dan kapitalis lebih ampuh berbanding ahli bahasa, sasterawan dan budayawan.

Politik dan kaum pemodal akan menentukan segala-galanya. Dulu, kini dan selamanya. Dosa Umno terhadap bahasa Melayu dan kedaulatan jati diri sentiasa berlaku. Tunku Abdul Rahman, Dr Mahathir dan Najib adalah pewaris kuasa yang kekal menidakkan bahasa Melayu.

Bagi pencinta bahasa, sedarlah. Anda hanya sampan kertas di lautan terbuka. Dulu, kini dan selamanya!


IMLAN ADABI adalah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian. Tulisan ini pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS