Tan Jia Yi sedang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kerakyatan.

Dia yang berusia 11 tahun, dinafikan kerakyatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana dia dilahirkan sehari sebelum ibu bapanya mendaftarkan perkahwinan mereka, lapor The Star hari ini.

Jia Yi dilahirkan pasangan Tan Ban Guan, seorang rakyat Malaysia dan ibunya seorang warga Indonesia.

Pasangan itu, selepas berbulan-bulan bergelut untuk mendaftarkan perkahwinan mereka kerana perlu mengumpulkan dokumen-dokumen yang dikehendaki, akhirnya diberitahu bahawa mereka boleh berbuat demikian di pejabat JPN di Ipoh, Perak, pada 26 Julai 2005.

Bagaimanapun, isteri Ban Guan mengalami sakit hendak bersalin pada yang sama, dan pada masa pasangan itu hadir di pejabat JPN, ia sudah terlambat dan pegawai bertugas sudah hendak pulang, dan memberitahu mereka untuk datang pada hari berikutnya.

Pasangan itu datang pada hari berikutnya, tetapi tidak berhasil, kata laporan itu. Ban Guan mengemukakan permohonan untuk pendaftaran Jia Yi sebagai kelahiran tempatan sebanyak tiga kali dalam tempoh empat tahun lepas. Tiga adik beradik Jia Yi yang lebih muda adalah warganegara Malaysia.

Jia Yi yang akan berusia 12 dalam masa beberapa bulan lagi, juga dalam keadaan terawang-awang kerana ibunya juga tidak mendaftarkan kelahirannya di negaranya.

Ban Guan, 45, bimbang tentang masa depan anak sulungnya itu dan mendakwa anaknya itu juga dibuli di sekolah kerana "keadaannya yang berbeza", menyebabkan gred pelajarannya juga merosot.

Jia Yi juga merupakan seorang pemain bola tampar berbakat, tetapi dinafikan peluang untuk mewakili negeri dalam kejohanan kerana statusnya itu.

Jurulatihnya, Patrick Morton, yang turut membantu Ban Guan memohon kerakyatan untuk Jia Yi, berkata budak lelaki itu merupakan "mangsa keadaan', dan melahirkan harapan bahawa proses mendapatkan kerakyatan itu akan berhasil lebih awal daripada tempoh setahun, seperti yang dinyatakan oleh JPN.

"Saya mahu meneruskan persekolahan sekolah dan satu hari nanti, mewakili negara dalam bola tampar," dia dipetik sebagai berkata.

[Baca berita penuh]