Isteri paderi: Jika ada rasa benci, apa beza kita dengan penculik
Tiga puluh lima hari telah berlalu sejak penculikan paderi, Raymond Koh, tetapi di mana paderi itu berada masih tidak diketahui.
Pada perhimpunan nyalaan lilin di Kelana Jaya malam tadi, isterinya Susana Liew menyebut suaminya diculik dengan cara yang 'berani dan pakar', menunjukkan bahawa mereka yang terlibat adalah profesional.
"Kami tak pernah lihat jenis keganasan jenayah terhadap seorang lelaki yang taat dan terkenal dengan kerja-kerja amal," kata beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan supaya jangan ada perasaan benci meskipun suaminya tidak diketahui sama ada masih hidup atau sebaliknya.
"Dan lagi ... walaupun berdepan cabaran dan kekecewaan, janganlah kita tunduk kepada putus asa dan benci. Jika ini berlaku, apa beza kita dengan penculik jahat yang menculik suami saya?," Katanya.
Mengucapkan terima kasih kepada ratusan orang yang menghadiri perhimpunan tersebut, Liew berkata: "Keluarga saya dan saya berterima kasih atas simpati dan sokongan oleh orang ramai. Kami diberikan semangat supaya tidak merasa sendirian dan ditinggalkan."
Awal bulan ini, acara yang sama diadakan di Shah Alam, Melaka, George Town dan Johor Baru.

