Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak dapat dibayangkan dengan jelas apakah aktivti pemimpin-pemimpin PAS ketika sebahagian rakyat tertanya-tanya: apa sudah jadi?

Ia bukan sesuatu yang baru, tetapi jarang-jarang sejelas ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat berbolak-balik. Dia menafikan sesuatu yang jelas - sekurang-kurangnya di mata umum - diucapkannya.

Ia seolah-olah Abdul Hadi menafikan beliau sekarang ialah presiden PAS ketika anggota parti itu mengulang-ulang ungkapan "tuan guru presiden" di depannnya.

Entah bagaimana reaksi Abdul Hadi berdepan dengan persepsi umum terhadapnya - jika dia tahu tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap dirinya dan PAS. Namun dapat dibayangkan bagaimana sukarnya pimpinan PAS memberi pencerahan kepada orang ramai apa yang berlaku.

Cara paling mudah ialah menyalahkan media. Itu memang "cap dagangan" kebanyakan parti politik negara ini.

Syahdunya, ketika sebahagian daripada kita memikirkan tentang langkah perlu diambil PAS membela Abdul Hadi, di media sosial tersebar rakaman video Datuk Seri Najib Razak sakan bertepuk tangan mendengar dendangan lagu Anak Kampung.

Di situ kelihatan ada ramai orang kenamaan dan penting-penting belaka. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun ada - walaupun beliau nampaknya sekadar tersengih dan tidak pula bertepuk tangan.

Itulah, kadang-kadang terasa sayu juga.

PAS sebenarnya perlukan suatu pasukan pengurusan bencana (disaster management) yang benar-benar berkesan. Praktik kawalan kerosakan (damage control) nampaknya buat masa ini tidak memadai.

Kenyataan mendebarkan dada

Adakah PAS menyedari hakikat ini? Entah, mungkin sedar dan langkah-langkah sewajarnya sedang dibuat tetapi di mata umum, ia seolah-olah terbiar tak terkawal.

Masalah besar bukan menjadi isu jika perbincangan krisis ini dihadkan kepada lingkungan domestik parti itu saja. Namun sekarang ia sudah tentu tidak terhad kepada PAS semata-mata.

Isu yang dibincangkan ialah rancangan PAS - atau setidak-tidaknya Abdul Hadi - mahu memimpin bukan satu dua, malah lima negeri. Dan satu daripada negeri itu kini sedang ditadbir secara pakatan oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH)!

Jika kenyataan itu pun sepatutnya sudah mendebarkan dada, apa lagi penafian Abdul Hadi tentang dia pernah menyebutkan hal itu. Ia bukan sebuah lakonan atau babak rekaan. Ia real.

Salah satu kemungkinan yang berlaku ialah Abdul Hadi tersasul, tetapi sukar menerima dia tersasul dengan mudah. Dia seorang ulama yang mestilah sentiasa cermat. Abdul Hadi juga naib ketua Kesatuan Ulama Dunia. Bukan calang-calang.

Kemungkinan lain ialah Abdul Hadi tersalah tanggap atau tafsir soalan wartawan. Orang tanya lain Abdul Hadi faham isu lain.

Dalam keadaan begitu, apa yang pasti ialah proses komunikasi tidak berlangsung secara berkesan. Menngikut teori, sesuatu komunikasi itu hanya dianggap berjaya terlaksana jika kedua-dua pihak yang terlibat berjaya berkongsi maklumat sama. Maksudnya, mereka bercakap tentang subjek yang bersama.

Apa pun, ia sudah berlalu. Ia tentulah bukan yang pertama, tetapi antara yang paling mengaibkan. Insiden itu jauh lebih parah berbanding jawapan Abdul Hadi ketika ditanya mengapa beliau selalu tidak hadir mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dulu, misalnya.

(Tiba-tiba, kita pun terkenang secara spontan bagaimana Datuk Seri Salleh Said Keruak menari dan Datuk Seri Azalina Othman Said bertepuk tangan mengiringi dendangan merdu lagu Anak Kampung tadi.)

Perlu tokoh mahir berfikir

Maka, suka atau tidak, PAS mesti menggerakkan pasukan pengurusan bencananya secara maksimum sekarang juga. Persepsi yang keliru itu perlu diperbetulkan serta-merta.

Memanglah PAS tidak kisah kalah dalam pilihan raya. Itu adalah serapah lazim pemimpin parti itu untuk menjawab keresahan ahli parti. Tapi harus diingat, pada masa sama Abdul Hadi berkata PAS mahu memimpin lima negeri.

Macam mana PAS mahu memimpin dalam politik ketika mereka tidak keberatan kalah adalah suatu misteri yang sukar dijawab akal yang sihat.

Antara langkah terawal yang perlu diambil PAS ialah mengurangkan bercakap. Perintah itu mesti dilaksanakan dari peringat atas sehingga bawah.

Carilah tokoh yang mahir berfikir dan berkata-kata untuk bercakap bagi pihak parti - kalau ada. Memanglah boleh berharap kepada kepetahan ketua penerangan tetapi setakat ini belum ada tindakan beliau yang agak menojol.

Berstokin ungu ketika menghadiri forum tentang Akta 355 rasanya tidak akan dapat banyak membantu.

Salah seorang naib presiden PAS pula menyalahkan media kerana melaporkan kecelaruan maklumat tentang partinya.

Maka kita melihat tuduhan bahawa Malaysiakini ada agenda mahu melaga-lagakan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malaysiakini juga, kata Mohd Amar, dikuasai DAP.

Justeru, katanya, ahli PAS diminta bersikap cermat menanggapi sebarang maklumat. Lalu Mohd Amar menekankan bahawa ahli PAS mesti berhati-hati dengan laporan media.

Saluran paling boleh diyakini PAS, katanya, ialah Harakah. Ahli parti, menurut Mohd Amar, boleh mendapatkan penjelasan berkenaan PAS daripada pimpinan parti, bermula di peringkat cawangan, kawasan, negeri dan pusat.

"Demo nak tanyo, tanyo la. Jawab tu atas ambo. (Kalau) yang boleh jawab ambo jawab," katanya.

Tetapi Mohd Amar menjelaskan pada keadaan tertentu ada persoalan yang tidak perlu dijawab.

"Ada benda yang tak patut jawab. Buke semua soale kena jawab. Kadang-kadang kita kena tanya balik (untuk penjelasan atau keperluan menjawab)," katanya.

Mohd Amar bukan orang sembarangan. Dia ialah naib presiden yang juga timbalan menteri besar Kelantan. Namun wajar juga dilihat bagaimana beliau menangani krisis maklumat itu di depan perwakilan PAS Pengkalan Chepa pada 18 Mac lalu.

Sepatutnya PAS tidak ada masalah untuk menggunakan kepakaran ahlinya yang pelbagai itu bagi menggerakkan pasukan pengurusan bencana mereka.

Dalam PAS ada ramai tokoh yang mendapat pendidikan sehingga ke peringkat doktor falsafah. Bilangan pimpinan yang memiliki ijazah sarjana tentulah lebih ramai.

Diadun dengan pengalaman dan bacaan politik yang tepat, ia boleh membentuk pasukan penasihat yang ampuh - tetapi tentulah dengan syarat utamanya, pimpinan PAS boleh dinasihat dan mahu pula mendengar nasihat.

Apa yang diperlukan orang bijak pandai dalam PAS ialah menggerakkan akal fikiran masing-masing melihat realiti hari ini.

"Bukannya kutidak suka sama kamu
tapi aku takut hidup kau kan sengara
kerna aku cinta, aku lepaskan kau
sama orang lain..."


AL-ABROR MOHD YUSUF wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini
 

Lihat Komen
ADS