Selepas kalah teruk, Nik Abduh kata sekadar 'suka-suka'

   

Selepas kalah teruk pada pemilihan pimpinan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan beliau bertanding hanya 'sekadar suka-suka'.

Pengkalan Chepa pernah diterajui oleh allahyarham bapanya yang juga adalah mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anak bekas menteri besar Kelantan itu hanya mengumpul 37 undi berbanding Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin yang memperoleh 207 undi bagi mempertahnakna jawatannya sebagai timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa.

Dalam laporan Utusan Malaysia, Nik Abduh ditanya mengenai dakwaan terhadapnya, terutamanya daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), yang didakwa seolah-olah meraikan kekalahannya.

“Biarlah yang lapar fitnah itu beraya (kekalahan Nik Abduh) sekejap.

"Saya hanya bertanding sekadar suka-suka sahaja. Jawatan yang sudah ada ini (Ketua Dewan Pemuda PAS) pun sudah tidak larat hendak pikul,” katanya.

Sementara itu, Sinar Online melaporkan Nik Abduh tidak terasa hati dengan kekalahan dialaminya kerana apa yang penting adalah terus kekal istiqamah dalam perjuangan parti.

"Menang gembira, kalah lebih gembira...istiqamah, bertanding biasa sahaja, itu latihan," katanya ringkas.

Ketika ditanya sama dirinya sudah ditolak akar umbi dan ada yang memburukkannya, Nik Abduh berkata "biasa tu... 24 jam."

Dalam pemilihan tersebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengekalkan jawatan Yang Dipertua Pengakalan Chepa.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda