Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masalah kekurangan guru di SJKC selesai Jun ini
Diterbitkan:  Mar 20, 2017 3:12 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Masalah kekurangan 347 guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara dijangka dapat diselesaikan Jun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata kekurangan itu melibatkan jawatan guru pentadbir, bimbingan, pendidikan khas, perpustakaan dan media serta pendidikan Islam yang berlaku disebabkan persaraan wajib dan persaraan pilihan.

"Kita akan melaksanakan pengisian guru pengajaran dan pembelajaran ke jawatan pentadbir yang kosong dan pertukaran guru pada Jun nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Kekurangan Guru di SJKC, di Putrajaya hari ini.

Chong berkata mesyuarat itu turut memutuskan 337 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) yang tamat kursus pada Jun ini akan dipanggil menjalani temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) secepat mungkin.

Dengan itu, katanya mereka boleh menjalani penempatan pada Ogos ini bagi mengisi kekosongan di SJKC.

Sementara itu, katanya, kementerian telah berjaya menyelesaikan isu 447 graduan Program Pensiswazahan Guru Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) -Kirkby International College (KIC) yang tidak menerima transkrip mereka.

Chong berkata graduan terbabit telah tamat pengajian dan menjalani konvokesyen namun tidak diberikan skrol dan transkrip yang menyebabkan mereka tidak dapat dilantik sebagai guru.

"Bagaimanapun pada 16 Mac lepas kementerian telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan keputusan telah dicapai, jadi semua graduan KIC tersebut boleh mendapat transkrip mereka," kata Chong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS