Pandikar larang wartawan berkumpul di lobi parlimen
PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini membuat ketetapan tidak membenarkan wakil media berkumpul di luar ruang legar dewan persidangan atau lobi parlimen.
Pandikar berkata, tindakan itu diambil selepas beliau mengambil kira aduan diterima daripada ahli-ahli Parlimen yang menzahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan pihak media menyerbu mereka untuk mendapatkan komen berkenaan sesuatu isu.
Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta.
“Saya telah membuat ketetapan bahawa wakil media yang hadir ke Parlimen hendaklah membuat liputan sesi mesyuarat Dewan Rakyat atau sidang akhbar Ahli Parlimen hanya di tempat yang telah disediakan iaitu di pusat media berkuat kuasa serta-merta.
“Jika wakil itu melanggar peraturan tersebut, maka kebenaran itu harus ditarik balik. Jadi sesiapa wakil media yang langgar peraturan ini, maka kebenaran mereka itu saya akan tarik balik,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini
Dengan keputusan yang dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 94, Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat, pergerakan petugas media kini dihadkan kepada bilik media manakala ahli parlimen yang mahu memberi kenyataan perlu ke bilik berkenaan. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan, selepas membuat peraturan tersebut, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangun untuk meminta penjelasan daripada Pandikar Amin bahawa Parlimen perlu mengambil kira jarak pusat media dengan lobi Parlimen yang menyukarkan petugas media untuk melakukan tugas mereka terutama dalam memantau pergerakan anggota Parlimen dan menteri Kabinet.
Katanya faktor itu memaksa petugas media berkumpul di lobi Parlimen bagi mendapatkan respons atau maklumat balas segera daripada mana-mana anggota Parlimen dan menteri Kabinet berhubung isu dan perkara tertentu.
"Bagi saya, saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan kehadiran mereka. Malah mereka memeriahkan Parlimen. Saya minta pihak Parlimen sediakan sedikit ruang untuk mereka di lobi Parlimen," katanya.
Menjawab kenyataan Mahfuz, Pandikar Amin berkata tidak ada mana-mana anggota Parlimen di negara lain yang diterjah petugas media sejurus keluar dari dewan persidangan.
Sebelum ini, kebiasaannya berpuluh petugas media dari pelbagai agensi berkumpul di lobi Parlimen berhampiran beberapa pintu masuk ke Dewan Rakyat bagi menjalankan tugas mereka.
Pusat media pula terletak di tingkat bawah bahagian belakang bangunan Parlimen.

