PARLIMEN l Seorang ahli parlimen DAP menggesa Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad segera menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, tindakan itu bagi membuktikan bahawa jabatan audit negara serius mahu menangani isu-isu integriti dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Rakyat berhak mengetahui apa yang berlaku dengan wang (SRC) yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP),” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan sebelum keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarang media berkumpul di luar ruang legar dewan persidangan atau lobi parlimen.

Pua berkata demikian ketika mengulas jawapan kementerian kewangan bahawa Deloitte Malaysia telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai juruaudit SRC, dan bahawa juruaudit baru masih belum dilantik.

Beliau mempersoalkan mengapa initerjadi sedangkan terdapat banyak firma audit.

"Adakah mereka tidak layak? Atau adakah tidak firma audit sanggup mengambil kes ini kerana terdapat terlalu banyak perkara tentang SRC yang tidak boleh didedahkan?" soalnya.

SRC ditubuhkan oleh 1MDB pada tahun 2011 untuk meneroka peluang-peluang pelaburan strategik dalam sektor tenaga.

Syarikat itu berjaya memperoleh pinjaman RM4 bilion dengan jaminan kerajaan daripada KWAP pada 2012, yang dilaporkan digunakan, antara lain untuk pelaburan di Indonesia dan Mongolia.

Antara tokoh utama SRC International adalah Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah urusan syarikat itu dan juga sebagai ketua pegawai unit pelaburan di 1MDB suatu ketika dahulu.

[Baca berita penuh]