Najib bayangkan KDNK tahun ini lebih 4.2%
Malaysia menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini meningkat sedikit berbanding 4.2 peratus yang dicapai tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
"Kita menjangka angkanya naik sedikit tahun ini, dan (pertumbuhan) akan meningkat pada 2018," katanya.
"Kerajaan mengunjurkan ekonomi akan berkembang antara empat dan lima peratus pada 2017.
"Angka ini menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih berganda daripada kadar yang diunjur Dana Kewangan Antarabangsa bagi ekonomi maju pada tempoh yang sama," kata beliau dalam ucaptama pada Forum Transformasi Global hari ini.
Najib sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia kekal berada pada landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
"Itulah sebabnya semua agensi penarafan utama seperti Fitch, Standard & Poor’s dan Moody’s telah mengesahkan Malaysia berada dalam kategori ‘A’.
"Bagi Dana Kewangan Antarabangsa, antara institusi yang dihormati di dunia.
"Penilaian terkininya mengenai Malaysia menyatakan ekonomi negara ini terus menunjukkan prestasi yang baik meskipun berlaku beberapa halangan, dan mencatatkan perkembangan yang ketara ke arah mencapai status berpendapatan tinggi," katanya.
Satu lagi contoh yang disebut Perdana Menteri ialah PriceWaterhouseCoopers, yang dalam laporan terkininya, mengunjurkan Malaysia akan berada pada kedudukan ke-25 KDNK tertinggi di dunia, yang diukur oleh persamaan kuasa beli, menjelang 2030 dan ke-24 pada 2050.
"Oleh itu, kedudukan 20 terbaik dalam capaian kita," kata Najib.
Sementara itu, Forum Transformasi Global tahun ini akan menampilkan, antara lain, manusia terpantas di dunia, Usain Bolt, pengasas Virgin Group Sir Richard Branson dan juga pengasas Alibaba Group Jack Ma.
Seperti yang diumumkan pada November lepas, Ma telah dilantik sebagai penasihat ekonomi digital Malaysia.
Najib berkata Ma akan berkongsi idea dan pengalaman beliau untuk menerajui ekonomi Malaysia melalui pembangunan Zon Perdagangan Bebas Digital - yang pertama seumpamanya di dunia.
"Kita akan melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital hari ini. Saya teruja (mengenainya)," kata beliau.
Zon berkenaan bakal memberi manfaat kepada usahawan dengan menawarkan persekitaran kondusif bagi syarikat digital menjalankan perniagaan - mengaktifkan lagi inovasi berasaskan Internet yang akan memacu ekonomi Malaysia.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan yang baru dilancarkan dengan sasaran menggandakan pertumbuhan e-dagang negara daripada 10.8 peratus kepada 20.8 peratus pada tahun 2020.
- Bernama

