Rundingan dengan Korea Utara masih diteruskan
Dengan beberapa perkembangan lain berlaku di negara ini, 'tebusan' membabitkan rakyat Malaysia di Korea Utara nampak seakan-akan tidak lagi dihiraukan.
Bagaimanapun, di peringkat diplomatik, rundingan antara Malaysia dan Korea Utara berhubung keselamatan dan penghantaran pulang rakyat Malaysia di Pyongyang masih diteruskan.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Reezal Merican Naina Merican menjelaskan bahawa pihaknya tidak mahu menghantar "isyarat yang salah" yang boleh menjejaskan rundingan.
"Kalau saya komen, mereka akan cari beberapa isyarat yang boleh, dengan cara itu mengelirukan keseluruhan proses rundingan," Reezal memberitahu Malaysiakini hari ini.
Reezal juga menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai mandat untuk bercakap lanjut mengenai rundingan yang sedang berlangsung.
Bagaimanapun, Reezal menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di Pyongyang adalah amat penting.
"Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama dalam situasi ini demi keselamatan rakyat kita di sana," katanya.
Reezal juga mengesahkan bahawa Wisma Putra sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Korea Utara.

