Isu SMUE: Tiada apa nak disembunyikan, kata Yeo
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin dari DAP membenarkan media untuk meneliti fail berkaitan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) selepas Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos menuduhnya menyalah gunakan dana skim ini.
"Saya nafikan dakwaan Jamal dengan menunjukkan resit-resit dan dokumen ini. Kami tidak ada apa mahu disembunyikan," kata Yeo di pusat khidmat Damansara Utama, hari ini.
SMUE adalah inisiatif kerajaan negeri Selangor bagi memberikan bantuan tunai kepada keluarga yang kematian ahli keluarganya.
Permohonan dibuat kepada wakil rakyat yang akan menyediakan RM1,000 dana kecemasan untuk urusan pengebumian manakala baki RM1,500 lagi dituntut daripada pegawai daerah.
Yeo berkongsi 12 fail yang penuh dengan resit dan tandatangan pihak yang menuntut RM1,000 serta disertakan sijil kematian dalam kawasan Yeo bermula 2013.
Wakil rakyat DAP itu turut mencabar Jamal untuk berbuat tindakan yang sama dalam skandal 1Malaysia Development Bhd.
"Bolehkah Jamal menggunakan piawaian yang sama kepada 1MDB? Bolehkah 1MDB dan anak-anak syarikatnya melakukan perkara yang sama dengan mendedahkan akaun? Jika tidak, ini double standard," tanya beliau.

