Ekonomi M'sia tahun ini positif, kata dewan perniagaan Cina
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) yakin terhadap prospek ekonomi negara pada 2017, disokong oleh peningkatan jualan dan pengeluaran berbanding tahun lepas.
"Eksport sudah mula meningkat sedikit sejak tahun lalu dan anggota ACCCIM percaya akan wujud pelaburan dalam separuh pertama 2017," kata Peck Boon Soon, anggota Unit Kajian Ekonomi Jawatankuasa Perdagangan.
Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai kajian ACCCIM ke atas keadaan ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2016.
Peck berkata, menurut keputusan kajian tersebut, 72 peratus responden menyatakan yang jualan syarikat mereka adalah 'baik' atau 'memuaskan', yang bermakna perniagaan mereka mampu mengharungi kelembapan ekonomi.
Mengenai sektor pembuatan, 75 peratus responden berkata, prestasi mereka sama ada 'meningkat' atau 'dapat bertahan' dan tujuh peratus dalam sektor borong dan runcit melaporkan 'peningkatan'.
"Kenaikan sedikit dalam prestasi jualan mungkin disebabkan sedikit pengembangan dalam ekonomi Malaysa, di mana ia telah menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam beberapa suku pada 2016.
"Prestasi ekonomi Malaysia terus disokong sebahagian besarnya oleh permintaan sektor swasta, yang juga telah menunjukkan pertumbuhan positif untuk mencatat 6.2 peratus pada suku keempat 2016," kata Peck.
Presiden ACCCIM, Datuk Ter Leong Yap berkata, beliau yakin mengenai prospek ekonomi tahun ini walaupun sentimen berhati-hati di kalangan pihak berkepentingan dalam komuniti perniagaan.
Menurutnya, 35.3 peratus responden menyatakan mereka optimis atau agak optimis.
Seiring dengan peningkatan dalam jualan, kajian itu menunjukan 66 peratus responden menyatakan pengeluaran mereka 'meningkat' atau 'stabil'.
Responden yang meramalkan kemerosotan volum pengeluaran dalam tempoh enam bulan akan datang kekal pada 33 peratus berbanding 40 peratus dalam tempoh sama tahun lepas.
Menurut kajian itu, terdapat harapan dan keyakinan lebih tinggi terhadap ekonomi Malaysia menjelang 2019, dengan keadaan ekonomi beransur-ansur baik pada 2017 dan 2018.
Kajian itu bertujuan untuk menilai keadaan ekonomi yang dihadapi komuniti perniagaan Cina dalam tempoh tersebut.
Ia meliputi empat bidang utama, keadaan ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2016; faktor yang menjejasksn prestasi perniagaan; prospek ekonomi dan pelbagai isu semasa; dan pelbagai cabaran berkaitan perdagangan, pelaburan dan pembangunan perindustrian di Malaysia.
- Bernama

