Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Wartawan bekerja, bukan berkelah di parlimen'
Diterbitkan:  Mar 22, 2017 6:23 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini membidas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana melarang pemberita melakukan tugas di ruang legar parlimen.

Beliau berkata pemberita berkumpul di lobi parlimen bukan untuk "berkelah" seperti yang yang didakwa speaker, tetapi untuk melakukan tugas mereka sebagai wartawan.

"Saya kecewa dengan tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab Pandikar bahawa media telah menukar ruang legar menjadi 'tempat berkelah'.

"Pemberita berada di parlimen setiap hari persidangan, tanpa mengira perbahasan undang-undang atau berkenaan sesuatu isu.

"Petugas media menghabiskan waktu kerja mereka di koridor dan bukan di pusat media yang disediakan, menunjukkan betapa tidak praktikal dan tidak berkesannya kemudahan semasa di parlimen," katanya dalam satu kenyataan.

Pandikar semalam mengenakan larangan itu dengan alasan bahawa pemberita mengganggu anggota-anggota parlimen dengan soalan-soalan yang tidak diingini dan 'berkelah' di lobi parlimen.

Petugas media hanya dibenarkan berada di bilik media untuk mengikuti persidangan secara langsung, atau membuat liputan sidang akhbar di kawasan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Nurul Izzah berkata jarak yang jauh antara pusat media yang baru dan ruang duduk parlimen mengurangkan peluang wartawan untuk berinteraksi secara langsung dengan anggota parlimen dan menteri-menteri.

Akses terus kepada sumber adalah penting supaya mereka dapat mengesahkan maklumat dan melaporkan berita yang boleh dipercayai, katanya.

"Begitu juga, sebagai seorang anggota parlimen, adalah menyusahkan dan membuang masa untuk berjalan di lokasi yang jauh untuk memenuhi kedua-dua tanggungjawab kami menghadiri sidang parlimen dan membuat sidang akhbar.

"Ia seolah-olah tepat pada masanya untuk mengingatkan Pandikar bahawa untuk anggota parlimen dan anggota kabinet bertanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka, media mesti dibenarkan menjadi saluran yang berkesan," katanya.

Beliau juga menimbulkan kebimbangan bahawa larangan itu adalah "satu lagi percubaan untuk melumpuhkan kebebasan akhbar di Malaysia" dan menggesa speaker menarik balik keputusan itu.

Wakil-wakil petugas media di parlimen semalam bertemu dengan Pandikar untuk mengkaji perkara itu, tetapi speaker tetap dengan pendiriannya.

Keputusan itu juga dikutuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Institut Wartawan Malaysia (IoJ), Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Lihat Komen
ADS