Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subromaniam dilantik ketua pengarah kastam yang baru
Diterbitkan:  Mar 24, 2017 4:48 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Datuk T Subromaniam dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam baru berkuat kuasa hari ini, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Subromaniam, 58, yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan/Penguatkuasaan) menggantikan Datuk Seri Khazali Ahmad yang bersara.

Subromaniam telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 33 tahun dengan mula menyertai perkhidmatan Penguasa Kastam pada 29 Julai 1984.

"Beliau (Subromaniam) berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan cukai dan penguatkuasaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Subromaniam pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Kastam Siasatan (Bahagian Penguatkuasaan) dan Ketua Penolong Pengarah Kastam Cawangan Siasatan.

"Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki akan membolehkan beliau (Subromaniam) melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan dan mampu meneruskan visi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyediakan perkhidmatan kastam bertaraf dunia," katanya.

Ali bagi pihak kerajaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Khazali di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama lebih 36 tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS