Dua rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah di Singapura, hari ini gagal mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi menggesa kerajaan Malaysia masuk campur dengan memulakan prosiding kes mereka di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan S. Prabagaran, 30, dan ibunya V. Eswary, 54, serta K. Datchinamurthy, 32, dan ibunya, A. Letchumi, 54, di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam yang mewakili pemohon, S. Surendran dan Latheefa Koya.

Turut hadir dalam prosiding itu Peguam Kanan Persekutuan Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Menteri Luar dan kerajaan selaku responden serta Andrew Khoo selaku peguam pemerhati bagi Majlis Peguam.

Surendran ketika ditemui pemberita berkata, hakim menolak permohonan tersebut selepas memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri kes berkenaan kerana ia membabitkan dasar negara asing.

"Tiada sebarang kos dikenakan kerana ia melibatkan kes kepentingan awam," katanya yang turut memaklumkan bahawa rayuan terhadap keputusan hari ini akan difailkan secepat mungkin.

Kedua-dua permohonan itu difailkan secara berasingan oleh Prabagaran dan Datchinamurthy bersama-sama ibu masing-masing pada 16 Jan dan 3 Feb lepas dengan menamakan Menteri Luar dan kerajaan sebagai responden.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah mandamus untuk mengarahkan kedua-dua responden memulakan prosiding terhadap Republik Singapura di ICJ.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa pihak responden diwajibkan untuk memelihara dan menguatkuasakan hak Prabagaran dan Datchinamurthy untuk dibicarakan secara adil.

Pada 22 Julai 2014, Prabagaran didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 22.24 gram diamorphine (heroin) dan dijatuhi hukuman mati pada 22 September tahun sama.

Pada 1 April 2015, Datchinamurthy dan warga Singapura, J. Christeen didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 44.96 gram diamorphine dan dijatuhi hukuman mati pada tahun sama.

Prabagaran dan Datchinamurthy telah menggunakan kesemua remedi undang-undang domestik di Singapura termasuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Singapura untuk mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka, namun kedua-duanya mendakwa mereka dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di negara itu.

- Bernama