Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhenti sepenuhnya, sepertimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini dan memberi ruang kepada penggantinya untuk memimpin negara ini.

Ketuanya, Ezam Mohd Noor berkata, tindakan Dr Mahathir mempertahankan Tengku Mahaleel Tengku Arif sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Berhad adalah satu tindakan yang tidak wajar.

Katanya, ia jelas merupakan 'pencerobohan' seorang bekas perdana menteri terhadap profesionalisme Proton yang menjejaskannya sebagai sebuah syarikat secara khususnya dan ekonomi negara secara umumnya.

"Tindakan Dr Mahathir mempertahankan kedudukan Tengku Mahaleel dilihat amat tidak wajar dalam keadaan hampir semua penganalisa ekonomi melihat kewajaran kedudukannya dikaji semula," kata Ezam dalam kenyataan media.

Menurut Ezam, perkembangan terbaru yang membabitkan kedudukan Tengku Mahaleel perlu dilihat secara serius kerana selama ini syarikat tersebut dibangunkan menggunakan banyak wang rakyat.

Kataya, tindakan bekas perdana menteri itu akan menimbulkan kecelaruan ekonomi negara dan secara tidak langsung menganggu pentadbiran kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Tun Dr Mahathir perlu berhenti sepenuhnya secara bermaruah seperti yang dilakukan oleh perdana menteri sebelumnya dan pemimpin negara lain yang telah bersara dan memberi ruang sepenuhnya kepada pengganti melaksanakan tugas memimpin negara," katanya.

Parti itu juga berharap Perdana Menteri bertegas dalam melakukan tindakan yang perlu demi mempertahankan kepentingan rakyat dan negara.