Seorang pegawai tinggi Kementerian Pertahanan ditangkap kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik di hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada 21 Mei lalu.

Beliau dan pasangannya telah ditangkap oleh sekumpulan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Pacific Sutera Hotel pada kira-kira jam 8.50 malam hari tersebut.

Serbuan tersebut turut dibantu oleh lima anggota polis dari Balai Polis Tanjung Aru.

Seorang anggota polis Balai Polis Tanjung Aru ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Dianggap sulit

Mengikut laporan itu, pegawai tinggi Kementerian Pertahanan berusia 54 tahun manakala pasangannya seorang wanita berumur 29 tahun.

Difahamkan kedua-dua pasangan tersebut telahpun berkahwin dan wanita tersebut adalah penduduk tempatan.

Menurut laporan itu lagi, tangkapan tersebut dibuat berdasarkan aduan orang awam.

Sementara itu, seorang pegawai JHEAINS, ketika dihubungi malaysiakini hari ini, enggan mengulas mengenainya, sekadar berkata: "Perkara dianggap sulit".

Katanya, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai apa-apa operasi yang dijalankan oleh unitnya iaitu Unit Penguatkuasaan JHEAINS.