Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
10 individu didakwa terima wang haram lebih RM11 juta

Sepuluh individu termasuk empat wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini bagi 19 pertuduhan menerima wang berjumlah RM11.456 juta yang merupakan hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Shafii Ismail, 44, Norazuan Shafie , 41, Noryasmi Yahya, 45,
Hasril Hassan, 43, Hamsah Selamat, 59, Norhayati Mohd Nor, 46, Zulfieka Fareez Hamsah, 28, Nur Jumaaton Baharuddin, 27, Norsyahira Fazira Hamsah, 23, dan Nurulhaslinda Mohamed Sabudin, 30, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan itu, yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM11,456,618 daripada aktiviti pengubahan wang haram dalam akaun masing-masing.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Kajang Prima, Kajang; Maybank Jalan Tukang, Kajang; RHB Bank Taman Taming Jaya, Balakong; dan Maybank Bandar Baru Bangi di antara Oktober 2014 dan Januari 2015.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Subseksyen itu memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM1.137 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei untuk sebutan semula kes.

Norazuan dan Noryasmi diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu, Shafii diwakili peguam Ling Yee Siew, Hasril diwakili peguam Jaswin Rajendiran manakala Hamsah, Norhayati, Zulfieka Fareez, Nur Jumaaton, Norsyahira dan Nurulhaslinda diwakili peguam Datuk C.Vignesh Kumar.

Lapan tertuduh membayar wang jaminan itu kecuali Noryasmi dan Hasril.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idamasliza Maarof. -Bernama

Lihat Komen
ADS