Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seluruh kakitangan kerajaan dinasihat supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit atau terpengaruh dengan dakyah pihak yang tidak bertanggungjawab memburukkan kerajaan.

Sebaliknya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan, Sri Dr Ali Hamsa, mereka perlu menghargai kerajaan yang menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan untuk menaikkan taraf hidup penjawat awam.

"Setelah apa yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat dan penjawat awam, saya ingin menggesa para penjawat awam untuk menumpukan usaha dalam menyokong kerajaan," katanya di majlis perasmian pembinaan 896 unit kuarters kakitangan kerajaan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan itu dibuat hanya dua hari selepas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menasihati guru yang lantang mempromosi pembangkang dan asyik memburuk-burukkan kerajaan supaya meletak jawatan.

Kata Mahdzir setiap kakitangan awam sepatutnya sedar mereka terikat dengan peraturan yang ditetapkan Perintah Am dan tindakan mengkritik hingga berbaur fitnah tidak sepatutnya berlaku.

Ali berkata kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menyediakan pelbagai kemudahan yang tidak ada sebelum ini walaupun negara berdepan dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

"Kita perlu menyokong kerajaan dengan menyampaikan perkhidmatan awam kepada rakyat.

"Kita perlu menyokong kerajaan dalam meningkatkan produktiviti dan merealisasikan harapan kerajaan untuk rakyat.

"Janganlah kita bertindak dan bersikap kacang lupakan kulit. Jangan kita terpengaruh dengan dakyah dakyah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, ditanya wartawan semasa sidang media selepas majlis itu, Ali menafikan kenyataan beliau merujuk kepada guru, sebaliknya menegaskan ia dibuat kepada kakitangan kerajaan secara umum.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS