Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rakyat akan warisi hutang negara akibat ketirisan Umno-BN'
Diterbitkan:  Mar 29, 2017 10:54 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Rakyat akan mewarisi hutang negara ini disebabkan oleh tindakan kepimpinan Umno BN yang tidak cekap yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Pengarah Strategi, Angkatan Muda PKR, Akmal Nasir.

"Fakta terpenting pada masa ini bagi setiap warganegara Malaysia sama ada baru sahaja lahir atau yang masih bernyawa tetap dibebani cukai GST dan seterusnya secara automatik akan mewarisi hutang negara akibat ketirisan, kebocoran dan penyelewengan di bawah pentadbiran Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas ucapan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, yang berkata bahawa Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) direncanakan bagi memastikan generasi akan datang tidak 'mewarisi' beban peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada masa kini.

Akmal juga berkata Khairy telah juga mengesahkan tindakan kerajaan Umno BN selama ini bersifat jangka pendek dan reaktif yang dilihat gagal merealisasikan aspirasi Wawasan 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK).

Setelah Wawasan 2020 gagal disempurnakan kerana pelbagai masalah ketirisan yang disebabkan oleh kepimpinan Umno BN yang tidak cekap, Umno BN masih berangan lagi mahu mentadbir sehingga tahun 2050,” katanya.

Menurutnya, ekonomi global penuh ketidaktentuan dan kedudukan defisit kewangan negara yang semakin melebar saban tahun.

Beliau memberi contoh laporan Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI) pada awal 2016 lalu, mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang, kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia dan lebih dua kali ganda purata serantau sebanyak 33 peratus.

Akmal berkata, anggaran purata hutang di Malaysia adalah RM56,000 iaitu kira-kira 10 kali lebih tinggi daripada purata pendapatan peribadi bulanan individu.

“Saya begitu yakin generasi muda yang ada pada hari ini sudah tidak sanggup lagi menghadapi bebanan hidup di bawah pemerintahan Umno BN dan mereka tidak akan teragak-agak untuk mengundi Pakatan Harapan kerana dengan hanya pada peti undi dapat menentukan nasib negara ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS