Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS Kedah turut kaji hubungan dengan PKR
Diterbitkan:  Mar 29, 2017 12:58 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Selepas Pulau Pinang, Terengganu, kini PAS kawasan Kedah pula dilapor meluluskan usul mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR dan ini akan dibawa pada muktamar PAS di negeri itu hujung bulan depan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama PAS kawasan yang berbuat demikian lapor Utusan Malaysia.

“Setakat ini 11 daripada 15 PAS kawasan di negeri ini sudah pun mengadakan mesyuarat agung tahunan sementara empat lagi akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

“Ada beberapa PAS kawasan yang membahaskan usul mengenai tahaluf siyasi bersama PKR dan perkara itu diluluskan untuk dibawa kepada jawatankuasa penapis usul di peringkat PAS Pusat,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Menurut laporan itu, PAS kawasan Baling juga meluluskan usul tersebut secara sebulat suara.

Semalam empat kawasan PAS di Terengganu yang telah selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan, sebulat suara meluluskan usul agar parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Manakala 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang turut meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Beberapa hari yang lalu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, walaupun keretakan hubungan antara PKR dan PAS dilihat semakin meluas, beliau yakin kemelut itu dapat diselesaikan dengan cara berbincang.

Kata Mohamed Azmin yang juga menteri besar Selangor, tradisi berbincang bagi mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah perlu diteruskan oleh kedua-dua pihak dan tidak perlulah mana-mana pihak berlawan-lawan mengeluarkan kenyataan yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada mana-mana parti.

Hubungan antara kedua-dua parti dilihat tegang kebelakangan ini selepas PKR tetap dengan keputusan untuk menjalin kerjasama dengan Parti Amanah Negara, DAP dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia yang membentuk Pakatan Harapan.

Kemelut berkenaan semakin meruncing apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa parti berkenaan akan menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Mohamed Azmin pula, tanpa menamakan mana-mana individu, di laman sosial miliknya yang memuat naik kenyataan 'Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur' yang kemudian menimbulkan pelbagai reaksi.

Lihat Komen
ADS