PKR dakwa Khir Toyo berbohong mengenai status Sgor Maju
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mendakwa, Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo berbohong mengenai status Selangor sebuah negeri maju, yang akan diisytiharkan Ogos ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mendakwa, Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo berbohong mengenai status Selangor sebuah negeri maju, yang akan diisytiharkan Ogos ini.
Pengerusi PKR Selangor, Abdul Rahim Wahab berkata, Institut Antarabangsa bagi Pengurusan Pembangunan (IMD) Switzerland tidak pernah membuat sebarang kajian mengenai Selangor di dalam ranking Pusat Persaingan Dunia (WCY), sepertimana yang dinyatakan oleh Mohd Khir.
"Apa yang disebut oleh IMD hanyalah mengenai Malaysia secara am," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, beliau mendapat tahu, perunding yang dinyatakan oleh Mohd Khir itu juga mempertikaikan kenyataan beliau dan sekaligus mempertikaikan status Selangor sebagai negeri maju.
"Adalah jelas Mohd Khir telah menyalahtafsirkan kajian yang dibuat oleh IMD. Gelaran negara membangun sepenuhnya tidak pernah wujud, malah tidak pernah dianugerahkan oleh IMD ataupun Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) sendiri.
"NPC sekadar sekadar menggunakan model IMD untuk mengumpul maklumat," kata Abdul Rahim sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor berhubung perkara tersebut.
Dalam lamanweb rasmi Menteri Besar Selangor Mohd Khir berkata "kerajaan negeri akan mengisytiharkan Selangor negeri maju pada 31 Ogos depan berikutan audit yang dilakukan oleh NPC telah mengesahkannya".
Menurut Mohd Khir lagi, pengesahan status negeri maju itu disediakan oleh NPC yang membuat kajian bersama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Penanda aras
Menteri Besar itu berkata, kerajaan Selangor memilih NPC kerana ia badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang merupakan institut berkembar dengan IMD, yang menyelaras dan menerbitkan The World Competitiveness Yearbook .
Menurut Mohd Khir, pengesahan itu dilakukan dengan menanda aras prestasi Selangor dengan 31 negara dan wilayah terpilih di seluruh dunia, termasuk 19 negara maju anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) seperti Denmark, New Zealand, Sweden dan Switzerland; negara maju bukan ahli OECD Singapura dan lima wilayah di negara maju seperti Bavaria (Jerman), Catalonia (Sepanyol), Ile-De-France dan Rhone Alps (Perancis), Lombardy (Itali) serta Hong Kong, China.
Menurutnya, antara penanda aras yang dikaji adalah pertumbuhan ekonomi, pendapatan perkapita berasaskan kuasa beli, pengangguran, inflasi, peratusan hutang kerajaan negeri dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peratusan kutipan hasil dari KDNK, produktiviti dan infrastruktur.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, status negara maju adalah retorik politik menteri besar itu semata-mata kerana masih wujud pelbagai masalah yang melibatkan rakyat negeri itu.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak berusaha untuk membasmi masalah setinggan dan kemiskinan, di samping masalah bekalan air dan kemudahan kesihatan.
"Terdapat ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan di kalangan rakyat negeri itu, selain masalah pembangunan yang tidak mampan serta pencemaran alam sekitar yang serius.
"PKR menganggap Mohd Khir telah cuba berbohong kepada rakyat Selangor dan status negeri maju yang megah diwar-warkan itu kini sangat-sangat diragui," katanya lagi.

