Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen bahawa tidak ada alasan untuk mengaitkan bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bersalah atas tuduhan memfitnah.

Pada 8 Julai 2015, Mohamad Sabu - yang kini adalah presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) - dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan fitnah jenayah terhadap beberapa anggota polis dan keluarga mereka berhubung serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950.

Hakim Mahkamah Tinggi Lim Chong Fong berkata pihak pendakwaan tidak memberikan alasan yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan fitnah.

Beliau berkata ucapan Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, perlu diambil mengikut konteks.

Katanya, apa yang disebut oleh Mat Sabu mengenai insiden Bukit Kepong adalah bukan suatu fitnah tetapi penulisan berhubung ucapan tertuduh telah ditokok tambah dan disensasikan oleh akhbar Utusan Malaysia.

"Saya sentiasa memandang tinggi terhadap pasukan polis tetapi kes ini membabitkan Perlembagaan Persekutuan, yang berkaitan dengan kebebasan bersuara.

"Saya perlu memastikan keadilan undang-undang untuk semua dan memastikan bahawa pertuduhan itu adalah di luar keraguan yang munasabah," katanya.

Tiada kecacatan

Lim berkata beliau telah mendengar rakaman audio ceramah Mat Sabu, dan mendapati bahawa beliau tidak mengkritik polis.

Mat Sabu, bagaimanapun, meminta semua pejuang, bukan sahaja daripada Umno, untuk diiktiraf semasa sambutan hari kemerdekaan di negara ini.

Begitu nama pejuang kemerdekaan Mat Indera dibangkitkan oleh Mat Sabu, kata hakim.

Lim juga berkata tiada sebarang kecacatan terhadap apa jua keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen.

Pada 8 Julai 2015, Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad, 62, di akhir kes pendakwaan.

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Mat Sabu yang diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor di Seberang Perai Utara pada 21 Ogos 2011.

Mat Sabujuga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga
mereka pada masa, tarikh dan di tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Razali berkata pihaknya akan menfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Mat Sabu ketika ditemui diluar mahkamah melahirkan penghargan kepada peguam serta orang ramai yang memberikan sokongan terhadapnya berhubung ucapan yang menjadi sensasi itu.

[Baca berita penuh]