Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk laluan Kelana Jaya tergendala malam ini akibat mengalami masalah teknikal.
Gangguan perkhidmatan itu disahkan pengendalinya, Prasarana Malaysia Bhd, melalui kenyataan Twitter RapidKL.
"Kami sedang berdepan masalah teknikal ketika ini dan pasykan kami sedang cuba mengatasinya," kata RapidKL di Twitter.
Pengguna yang terkandas di sepanjang perhentian laluan itu turut menyatakan rasa marah mereka di Twitter.
"RapidKL perlu menambah baik laluan Kelana Jaya. Seluruh laluan tergendala sejam lalu," kata Robert Lim.
"Seluruh laluan LRT Kelana Jaya terhenti sekurang-kurangnya satu jam 10 minit," kata Vincent Chen.
KJ Line Update : Troubleshooting of the signalling system in progress. pic.twitter.com/VLflB9zsuy
— RapidKL 03-78852585 (@MyRapidKL) March 31, 2017
"Apa yang terjadi di laluan Kelana Jaya sekarang? Ia terlewat atau ada masalah? kata Fahmi Ab Rahman pula.
Laluan itu terputus kira-kira jam 8.30 malam dan ketika berita ini ditulis, RapidKL memberitahu, semua tren kini beroperasi secara manual.
Mereka juga memaklumkan, syarikat itu menyediakan perkhidmatan bas sebagai pilihan kepada pengguna.
RapidKL tidak menyatakan secara khusus masalah teknikal yang dialami tetapi sekeping gambar dimuat naik dilihat sedang memeriksa sistem isyarat LRT terbabit.
Ia bukanlah gangguan perkhidmatan kali pertama berlaku.
Pada September tahun lalu, gangguan bekalan elektrik ekoran hujan lebat suatu pagi memaksa ribuan pengguna terkandas pada waktu puncak.
